KITA sering mendengar frasa ‘usia itu sekadar angka’ yang juga membawa maksud bahawa usia itu tidak menentukan siapa diri kita yang sebenarnya, apa yang sudah dicapai dan apa yang mahu dicapai.
Seseorang itu masih boleh mengejar impian dan tidak seharusnya menjadikan faktor usianya sebagai penghalang kepada matlamat diri.
Bagi sesetengah individu, menginjak usia 50 tahun adalah antara perkara yang ditakuti kerana menganggap bakal berdepan banyak halangan dalam mendepani cabaran hidup.
Begitu pun, satu kajian yang dibuat tahun lalu di Britain mendapati 67 peratus individu berusia 50 tahun dan ke atas percaya mereka masih berpeluang untuk mencapai matlamat hidup dan percaya bahawa kehidupan sebenar bermula pada usia 50 tahun.
Di Malaysia, sebagai meraikan dan menyokong frasa ‘Life Begins at 50’, satu festival yang menghimpunkan individu dewasa berusia 50 tahun dan ke atas telah dianjurkan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Di saat banyak program menyasarkan golongan muda, program sebegini nyata menunjukkan golongan tua juga tidak terpinggir untuk melakukan aktiviti bersesuaian bersama-sama.
Festival tersebut dianjurkan oleh kelab sosial khusus untuk individu dewasa berusia 50 tahun dan ke atas iaitu Amazing Seniors dengan menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik buat peserta.
Amazing Seniors yang berpusat di Kota Damansara itu turut memperkenalkan aplikasi sendiri bertujuan untuk menghubungkan individu-individu berusia 50 tahun ke atas dengan pelbagai aktiviti, perkhidmatan penjagaan kesejahteraan, pembelajaran sepanjang hayat dan juga penglibatan komuniti sebagai usaha memperkaya kehidupan warga emas.
Amazing Seniors Festival ‘Life Begins at 50’ itu yang diadakan selama tiga hari di Tropicana Gardens Mall disertai kira-kira 2,000 warga tua Malaysia pelbagai kaum. Anak-anak muda atau keluarga juga ada yang hadir menemani.
Antara aktiviti diatur termasuk pertandingan mencari bakat nyanyian, lakonan dan komedi menerusi Talent Quest Finals dan juga ‘Walk-A-Breakfasthon’ iaitu acara berjalan kaki sejauh tiga dan lima kilometer sebagai mempromosikan gaya hidup sihat. Lebih istimewa, turut diadakan ialah penghargaan kepada lima tokoh berusia 50 tahun dan ke atas yang memberi inspirasi kerana pencapaian dalam bidang masing-masing.
Salah seorang peserta festival yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, 58, berkongsi dia teruja apabila dapat mengisi masa terluang dengan menyertai festival menarik itu.
“Sebagai suri rumah, saya banyak menghabiskan masa di rumah bersama suami dan anak-anak. Oleh itu, saya berasa seronok apabila dapat keluar dan turut serta dalam acara sebegini.
“Seronok apabila dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu sesama usia daripada pelbagai latar belakang yang berbeza,” katanya kepada K2.
Tambah Maznah, selaku individu berusia 50-an, dia tetap seronok dan positif jalani hidup biarpun adakalanya berasa sunyi memandangkan anak-anaknya sudah membesar dan mempunyai kehidupan sendiri.
“Saya melihat penuaan sebagai satu proses normal dan sesuatu yang perlu dijalani sebaiknya. Apa pun cabarannya kita perlu berlapang dada dan tempuhinya tanpa rasa takut atau terlalu memikirkan tentang begitu banyak perkara terutamanya perkara-perkara di luar kawalan,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

tokoh-tokoh hebat dalam lingkungan usia tersebut yang boleh dijadikan inspirasi.
Mengenai penghargaan, Anugerah dipanggil Timeless Inspiration Award itu mengiktiraf lima individu hebat iaitu tokoh politik yang memperjuangkan kebajikan wanita di Sarawak, Tan Sri Datuk Seri Empiang Jabu; seniman popular tanah air, Datuk Rahim Razali; bekas jurulatih dan atlet kebangsaan, Datuk Marina Chin; bekas bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group (SMG), Datin Linda Ngiam dan tokoh orang kelainan upaya (OKU), Ramlah Md. Jalee.
Empiang, 80, memberitahu, beliau teruja dan sama sekali tidak menyangka diberi penghargaan cukup bermakna.
Figura yang dikenali sebagai The Woman Who Smashed the Glass Ceiling itu cukup dikagumi atas kerja kerasnya dalam memperjuangkan kebajikan wanita, khususnya di Sarawak.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih dan berasa teruja kerana anugerah ini adalah di luar jangkaan saya.
“Apatah lagi, anugerah ini dikenali sebagai Timeless Inspiration Award 2024 yang sudah tentunya merupakan satu penghargaan yang tinggi nilainya, bermakna dan cukup simbolik dengan perjalanan kehidupan saya sepanjang 80 tahun ini,” katanya.
Empiang sebelum ini merupakan seorang guru sekolah selama 14 tahun sebelum terpaksa mengundurkan diri daripada dunia pendidikan bagi memberi sokongan kepada suaminya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang baru berkecimpung dalam dunia politik pada 1974.
Beliau seterusnya dilantik antaranya sebagai ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Sarawak, Pengerusi Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, selain turut aktif memperjuangkan hak wanita luar bandar apabila dilantik sebagai Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) selama 30 tahun.
Kala bercakap tentang frasa ‘Life Begins at 50’, Empiang melihat frasa itu sebagai hanya satu slogan.
“Bagi saya, ia sekadar slogan kerana kehidupan itu bermula saat Tuhan yang Maha Kuasa menghidupkan kita di dunia ini. Dalam istilah ‘Life Begins at 50’ ini juga, saya melihat kebanyakan orang bersara atau akan mula berfikir tentang dunia persaraan apabila usia menjangkau 50 tahun.
“Hakikatnya, pada usia 50 tahun itulah makna serta liku-liku hidup mula menyerlah. Proses pemikiran juga sudah matang. Ini dikatakan turning point atau milestone yang mengukir langkah seterusnya untuk menilai diri kita sendiri, apakah erti hidup dan bagaimanakah seseorang terus relevan dalam bidang yang diceburi,” kongsinya.
Khidmat bakti Empiang pada usia emas menguatkan lagi bahawa usia bukan satu penghalang untuk seseorang mencapai sesuatu biar apa pun cabaran.
“Nasihat saya buat anak muda adalah untuk sentiasa mencari pengetahuan menerusi pendidikan, raikan teknologi moden dan sentiasa gunakan media sosial dengan penuh bertanggungjawab, untuk tujuan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, pengasas Amazing Seniors, Penny Low menyatakan festival ini kali ketiga diadakan Amazing Seniors dan penganjurannya bertujuan meraikan fasa baharu dalam kehidupan individu berusia 50 tahun dan ke atas antaranya dalam persiapan menempuhi alam persaraan.
“Penganjuran acara ini juga sebagai menghubungkan golongan ini dengan perkhidmatan penjagaan warga emas yang ada supaya mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan dan tidak perlu takut atau bimbang untuk melalui fasa penuaan.
“Penuaan adalah satu proses yang tidak boleh dielak dan persediaan rapi menghadapinya perlu dibuat sebaiknya, memandangkan kita perlu beradaptasi dengan proses itu secara perlahan-lahan menerusi pelbagai cara, seperti belajar teknologi baharu kerana ia boleh membantu memudahkan pergerakan dan urusan harian kita,” katanya.















