BALIK PULAU – Pesakit warga tempatan yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini akan dipindahkan segera ke Pusat Latihan Zakat (PULAZA), Jalan Pantai Acheh di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam selepas isu berhubung kesesakan dan ketidakselesaan pesakit warga tempatan hangat diperkatakan sejak kelmarin.
“ZPP (Zakat Pulau Pinang) MAINPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) bersetuju memberi kebenaran agar semua pesakit Covid-19 warga Malaysia yang ditempatkan bersama warga asing di Kompleks Sukan Balik Pulau dan menjadi isu hangat sehari dua ini, dipindahkan segera ke Pusat Latihan Zakat (PULAZA).
“Difahamkan, proses perpindahan akan berlangsung esok (hari ini), Insyaa Allah,” tulisnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, pihaknya berasa lega setelah rayuan dan pandangan daripada aduan netizen berhubung ketidakselesaan pesakit yang dikenakan kuarantin di kompleks berkenaan mendapat perhatian pihak terbabit.
“Kita mengharapkan supaya isu yang berbangkit ini dapat diselesaikan dengan penambahan pusat kuarantin yang baharu itu.
“Kita juga meminta pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenal pasti lagi dewan yang boleh menempatkan pesakit Covid-19 di sekitar negeri ini.
“Selain di daerah Barat Daya, Dewan SP Arena di Seberang Perai Tengah dan Dewan Millenium di Seberang Perai Utara antara lokasi yang dikategorikan boleh menampung pesakit menjalani kuarantin Covid-19,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, proses perpindahan pesakit warga tempatan masih belum dilakukan.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, pesakit Covid-19 warga tempatan yang menjalani kuarantin di Kompleks Sukan Balik Pulau mendakwa semakin dibelenggu tekanan selepas terpaksa tinggal dalam keadaan sesak bersama ratusan pesakit warga asing yang ditempatkan di situ. – K! ONLINE














