POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menerusi Op Global baru-baru ini menyerbu rumah isteri pemimpin GISB Holdings (GISBH) di Kampung Panji, Kota Bharu.
Pihak berkuasa turut menemui buku berkaitan Al-Arqam dan Ashaari Muhammad yang ditanam di tepi sungai berhampiran rumah tersebut.
Ada juga buku-buku berkaitan Aurad Muhammadiah dibakar dalam usaha untuk melupuskan bukti berdasarkan kepada bau asap di kawasan itu. Selepas itu, pihak berkuasa menyerbu rumah amal dan sekolah milik GISBH di Pasir Puteh sebelum menemukan buku-buku berkaitan Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah di dalam stor.
Serbuan di dua lokasi itu membawa kepada penahanan lima individu termasuk empat beranak dipercayai terlibat menyimpan dan melupuskan bahan bacaan tersebut.
Meskipun Al-Arqam sudah diharamkan 30 tahun lalu, pengikut Abuya dipercayai menghidupkan semula gerakan itu dengan berselindung di sebalik Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) sebelum diharamkan pada 21 Disember 2006.
Apabila SRC difatwakan sesat kerana mempunyai ideologi sama seperti Al-Arqam, mereka kemudian menubuhkan organisasi lain.
Walaupun berbeza nama, namun ada satu sosok yang masih sama dan sentiasa menjadi rujukan pengikut gerakan-gerakan tersebut dan gurunya, Abuya yang sudah meninggal dunia pada 2010.
Mengulas mengenainya, Ahli Jawatankuasa Buhus Masail Pondok Kelantan, Mohamad Aziz Che Man berkata, Islam tidak mengajar umatnya untuk mendewakan dan melihat guru itu sebagai individu yang maksum atau tidak berdosa.
Menurut beliau, guru sepatutnya menjadi pembimbing kepada pengikut atau ahli dalam menyampaikan al-Quran dan hadis untuk dijadikan panduan hidup.
“Banyak dalam ajaran Al-Arqam sudah ditokok tambah dan dilihat lebih menjurus kepada keinginan dan nafsu seseorang guru itu dalam menyampaikan dakyahnya.
“Apabila pengikutnya terlalu mengangkat Ashaari, ia sudah menjadi satu kesalahan dalam beragama. Guru bukan individu yang perlu disembah, sebaliknya ajaran berpandukan al-Quran dan hadis yang diajar,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mohamad Aziz berkata, dengan mengambil pendekatan yang diterapkan di institusi pondok, guru adalah pembimbing atau golongan murshid untuk membawa tali Allah SWT.
Jelasnya, tiada ketaasuban terhadap guru kerana apabila ada individu itu menyimpang daripada ajaran Islam, maka wajib bagi sesiapa sahaja untuk menyedarkannya.
“Berbeza dengan pegangan pengikut GISBH, mereka mengikut secara melulu segala arahan guru atau orang atasan kerana sudah didoktrin sejak kecil untuk agungkan Abuya.
“Bahkan, pengikut mereka sanggup meminum air janggut, kuku dan rambut pemimpin untuk menzahirkan ketaatan kepada guru mereka. Cara ini sudah jauh menyimpang daripada agama,” katanya.
Mohamad Aziz berkata, pengikut Abuya sepatutnya mengikut ilmu tasawuf, fiqah, tafsir dan hadis dalam menyampaikan ajaran Islam bagi mengelak mereka terus berada dalam lembah kesesatan dalam beragama.
Sehubungan itu, beliau menggesa jabatan agama negeri supaya segera mengeluarkan fatwa mengenai kesesatan ajaran GISBH seperti yang dikeluarkan Perlis dan Terengganu. Tambahnya, fatwa sesat itu merupakan salah satu langkah terbaik untuk mengelak fahaman Al-Arqam atau Abuya terus berevolusi dan disampaikan dalam kaedah berbeza selepas ini.














