fbpx
ZOO Negara menjadi antara lokasi popular rakyat negara ini untuk membawa keluarga bersiar-siar terutamanya pada musim cuti sekolah.

Harimau kami tidak kurus, boleh datang lihat sendiri – Zoo Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Zoo Negara menafikan dakwaan haiwan yang berada di zoo terbabit tidak dijaga baik dan dibiarkan kurus serta kurang bermaya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, kesemua haiwan tersebut dijaga rapi dan mengikut prosedur kesihatan ketat, termasuk pemantauan oleh pakar veterinar dan kakita­ngan terlatih.

“Itu tidak benar sama sekali. Pengunjung boleh datang sendiri untuk melihat keadaan haiwan kami seperti harimau. Harimau kami tidak kurus. Haiwan di Zoo Negara tidak seperti haiwan peliharaan di rumah, mereka ada catuan makanan dan kami menjaga kesihatan dengan teliti,” katanya.

Tambahnya, Zoo Negara sentiasa memastikan haiwan dipelihara tidak dibiarkan gemuk kerana keadaan tersebut boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan.

“Haiwan di sini ada jadual dan catuan makanan ditetapkan ke­rana jika melebihi berat ideal, ia mengganggu kesihatan.

“Semua haiwan di Zoo Negara menerima penjagaan daripada pasukan ve­terinar yang berdedikasi. Jika ada haiwan tidak sihat, ia akan dipantau dan dijaga setiap hari,” ujarnya.

Baru-baru ini, seorang pempengaruh yang berkunjung ke Zoo Negara meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan zoo berkenaan apabila keadaan haiwan-haiwan di sana dikatakan tidak dijaga dengan baik.

Menurutnya, kebanyakan haiwan-haiwan yang ada kelihatan lemah, tidak aktif serta kurus.

“Saya punya keterujaan ‘tidak boleh keluar’ sebab harimau yang saya lihat tidak bertenaga. Saya pandang dia (harimau), dia pandang saya tak bertenaga. Tak ada pun dengar ‘mengaum’’.

“Kita sendiri boleh lihat binatang itu ceria atau tidak. Perut harimau pun kempis, tukang bagi makan dekat Zoo Negara besar lagi perutnya. Haiwan yang ada pun jalan macam sakit. Kawasan sekeliling seperti tidak terurus. Akuarium ikan pun air keruh,” dakwanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN