GUA MUSANG – Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Serian di sini, kini hidup dalam ketakutan selepas perkampungan serta kebun mereka diceroboh seekor gajah liar sejak dua minggu lalu.
Kehadiran gajah jantan itu turut menyebabkan rutin harian penduduk sebagai pekebun dan penoreh getah terganggu apabila mereka terpaksa mengehadkan waktu berada di kebun kerana bimbang diserang haiwan liar itu.
Seorang pekebun, Muhamad Rofi Ismail, 58, berkata, gajah liar itu masih berada di dalam kawasan kebun selepas mereka menjumpai banyak kesan tapak kaki dan najis.
Katanya, gajah tersebut turut merosakkan pokok getah dan pokok buah-buahan seperti pisang selain buah dokong yang diusahakan penduduk.
“Gajah liar itu dilihat berada berhampiran rumah penduduk dan minum air dalam tong yang disimpan di tepi rumah pada Jumaat minggu lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Serian di sini semalam.
Muhamad Rofi memberitahu, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa keluar secara berkumpulan untuk menoreh getah atau melakukan kerja di kebun secara singkat bermula pukul 8 hingga 11 pagi kerana tidak mahu terserempak dengan gajah liar itu.
Katanya, laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan siasatan termasuk pemantauan telah dilakukan anggota jabatan tersebut.















