DARI kejauhan, kedengaran sayup suara kanak-kanak perempuan tertawa riang sambil berkejaran dengan beberapa ekor kambing dan lembu di sebuah ladang.
Kanak-kanak itu tidak kekok bergurau senda dan ‘berbual-bual’ dengan haiwan ternakan bapanya di kandang yang terletak di Baruh Tok Jiring, Kuala Nerus.
Wan Rania Amanda Wan Mohd Faizal, 11, persis Mowgli Malaysia versi budak perempuan berikutan kebolehannya ‘menjinakkan’ haiwan-haiwan itu seperti Syukor Khamis, kampung boy yang akrab dengan kerbau dari Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu yang pernah tular beberapa tahun lalu.
Murid darjah lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu itu mengakui dia lebih selesa berteman dengan haiwan-haiwan tersebut terutama kambing berbanding berdamping dengan gajet seperti kanak-kanak seusianya.
Menurutnya, setiap pagi jadual hariannya bermula dengan menjenguk kambing kerdil ‘Nigerian Dwarf’ dan berpuluh ekor hamster yang dipelihara di rumahnya sebelum pergi ke sekolah.
“Balik sahaja dari sekolah, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah dan rehat sebentar sebelum memulakan rutin harian sebagai ‘penternak’ di kandang.
“Selepas solat asar, saya akan mula memberi makan, minum, memandikan kambing dan lembu, merawat penyakit dan bermain-main dengan haiwan-haiwan ini hingga masuk waktu maghrib,” ujar kanak-kanak itu ketika ditemui Panorama baru-baru ini.
Wan Rania Amanda berkata, pada musim cuti persekolahan pula, dia akan berada di kandang haiwan bapa seharian sehingga lewat petang.
Dia yang mesra dipanggil Rania berkata, baginya, momen-momen bersama haiwan sangat indah dan menghiburkan.
Cerita Rania, semuanya bermula selepas bapanya, Wan Mohd Faizal Wan Zulkefli, 37, disahkan mengalami stres sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Anak sulung daripada lima beradik itu memberitahu bapanya dinasihatkan doktor untuk memelihara haiwan bagi meredakan kesan negatif stres tersebut.
“Sejak itu, ayah mula berjinak-jinak dalam dunia penternakan dan sering membawa saya ke kandang untuk mempelajari serba sedikit tentang haiwan.
“Mula-mula saya memang cemas sedikit hendak menyentuh kambing dan lembu tetapi lama-kelamaan, saya terhibur dengan keletah haiwan-haiwan ini,” katanya.
Buat masa ini, Rania berkata, dia memiliki beberapa haiwan kesayangan seperti dua ekor kambing betina yang diberi nama ‘Rocky’ dan
‘Bobby’ serta lembu bernama ‘Jate’ dan ‘Flora’.
Kanak-kanak yang petah berbicara itu berkata, dia merasai kepuasan dapat meluahkan rasa gembira, sedih, mahupun kecewa yang sedang dialaminya kepada haiwan-haiwan tersebut setiap kali mengunjungi kandang bapanya.
“Semua haiwan tersebut seolah-olah faham apa perasaan saya sama ada sedih atau gembira.

“Renungan mata serta tindak balas seperti pelukan Rocky, Bobby, Jate dan Flora sangat melegakan saya,” katanya.
Rania turut berminat dalam penjagaan kesihatan haiwan dan mahir dalam rawatan asas seperti cara mengubati sakit perut, kulit dan penjagaan kambing serta lembu bunting.
Ujarnya, semua ilmu itu diperoleh daripada YouTube serta beberapa doktor veterinar yang sering mengunjungi kandang milik bapanya untuk merawat haiwan yang sakit.
“Saya juga banyak belajar khasiat tumbuh-tumbuhan seperti pucuk senduduk yang boleh dijadikan rawatan alternatif mengubati haiwan yang cirit-birit dan sakit perut.
“Kenangan paling manis apabila berpeluang menyambut kelahiran beberapa ekor anak kambing,” ujarnya.
Meskipun banyak menghabiskan masa dengan haiwan-haiwan kesayangannya, Rania tetap akur dengan rutin hariannya sebagai seorang murid untuk menimba ilmu.
Jelas Rania, subjek yang paling digemari di sekolah ialah Sains dan Bahasa Inggeris kerana corak pembelajaran yang interaktif dan banyak maklumat boleh diperolehi menerusi Internet.
“Ayah dan ibu, Shaima Nadhirah M. Muslim, 32, sering berpesan kalau saya mahu terus menjaga haiwan-haiwan ini, perlu ada ilmu.
“Saya perlu menguasai Bahasa Inggeris dan Sains untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor veterinar,” katanya.
Rania berkata, bagi membantu bapanya, dia turut aktif dalam media sosial seperti Tik Tok untuk memaparkan gelagat haiwan kesayangannya dan rutinnya di kandang setiap hari.
Ujar Rania, banyak kata semangat diberi netizen yang suka dengan video-video yang dimuat naik di dalam akaun TikTok.
“Saya memanfaatkan peluang itu untuk mengiklankan harga haiwan peliharaan ayah.
“Harapan saya agar terus berpeluang menjaga kesemua haiwan kesayangan ini sekali gus menjadikan ayah saya sebagai seorang usahawan ternak yang berjaya,” katanya.














