fbpx
UPSR dan PT3 dapat mengukur tahap akademik murid berbanding sistem PBD yang tidak berkesan dalam aspek kemenjadian pelajar. – Gambar hiasan

PBD Eropah meroket, kita merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan sejak 2021 dan 2022 wajar dikembalikan berikutan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) tidak berkesan dalam aspek kemenjadian murid.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, pendidikan negara masih memerlukan satu sistem pentaksiran berpusat bagi menilai prestasi murid dan pelajar.

Menurutnya, PBD yang dimulakan sejak 2017 tidak berkesan bagi menggantikan UPSR dan PT3 selain pelaksanaannya menimbulkan banyak masalah dan menjadi pertikaian ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pentaksirannya.

“Selain itu, kita juga dapat melihat kesan daripada PBD ini di mana isu-isu 3M (membaca, menulis dan mengira) tidak selesai serta minat pelajar semakin merosot.

“Kesannya juga kita boleh lihat kepada pencapaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) yang merosot teruk serta membimbangkan,” katanya.

Jelas Anuar, sistem PBD yang diamalkan di negara ini sejak 2017 telah diambil daripada beberapa negara maju termasuk Eropah yang mana persekitaran pembelajarannya berbeza dengan kita.

DR. ANUAR

Selain itu, katanya, kementerian juga tidak membuat perubahan dan rombakan kepada kokurikulum dan silibus dengan masih menggunakan sistem lama iaitu sistem peperiksaan.

“Kurikulum 2017 itu untuk tujuan peperiksaan, sebab itu kalau kita lihat kandungan silibusnya banyak, padat dan tinggi. Guru akan mengajar sehingga habis sukatan.

“Sepatutnya, apabila kita laksanakan PBD, kuriku­lumnya ringkas, mudah dan ringan serta tidak terlalu banyak. Inilah sistem diamalkan di negara maju. Mereka melaksanakan PBD berasaskan aktiviti. Melalui aktiviti penilaian dilakukan,” jelasnya.

Anuar menjelaskan di negara maju juga, setiap kelas hanya mempunyai 20 hingga 25 murid dan guru yang sama akan mengajar semua mata pelajaran bagi kelas tersebut.

Katanya, perkara itu memudahkan guru tersebut membuat penilaian ke atas setiap murid.

“Berbeza dengan sistem PBD di negara kita yang setiap kelas mempunyai 40 hingga 45 (bagi sesetengah sekolah) dan guru akan mengajar lima ke enam kelas setiap hari.

“Jadi setiap guru akan mempunyai sekurangnya 200 hingga 240 murid untuk dinilai dan ini membuatkan guru terasa terbeban dan penilaian tidak akan dapat diberikan dengan tepat dan berkesan,”ujarnya.

UPSR kaedah terbaik mendorong murid berusaha lebih untuk berjaya dalam pelajaran. – Gambar hiasan

Justeru katanya, saranan mengembalikan semula UPSR dan PT3 wajar kerana sistem penilaian berasaskan PBD masih tidak sesuai diamalkan di negara ini selagi kokurikulum dan silbusnya tidak diubah.

“Bagi saya walaupun peperiksaan UPSR dan PT3 ini dianggap cara konvensional untuk mengukur tahap akademik murid, tetapi sistem ini jauh lebih tinggi keesahannya berbanding penilaian melalui PBD.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, dua peperiksaan itu perlu dikembalikan kerana ramai ibu bapa bimbang anak mereka seolah-olah menjadi generasi tiada hala tuju pasca Covid-19.

“Guru juga sudah merungut kesan daripada pemansuhan UPSR dan PT3 kerana murid-murid bersikap acuh tak acuh untuk belajar kerana mereka tidak ada sasaran.

“Apabila UPSR dimansuhkan, murid tahun enam kurang memberi penekanan untuk mempersiapkan diri menghadapi sekolah menengah. Begitu juga pelajar tingkatan tiga yang akan melangkah ke menengah atas,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN