PETALING JAYA – Kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan derma organ masih rendah dengan pelbagai kempen yang diadakan kurang mendapat sambutan.
Pakar Perunding Nefrologi, Perubatan Dalaman dan Pensyarah Perubatan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Fadhlina Zakaria berkata, hanya 0.02 peratus sahaja rakyat negara ini berikrar sebagai penderma organ sejak 1997.
Menurutnya, antara punca kesedaran itu rendah disebabkan kurangnya pendedahan terhadap kepentingan prosedur berkenaan dalam media sosial serta media arus perdana.
“Berbanding negara-negara lain, mereka aktif membuat pendedahan berhubung kepentingan prosedur pendermaan organ di televisyen dan akhbar-akhbar sekali gus menarik perhatian orang ramai.
“Bagaimanapun, kita berharap dengan banyak program dijalankan ketika ini, ia dapat meningkatkan kesedaran kepentingan menderma organ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini.
Sementara itu, Dr. Nor Fadhlina berkata, buah pinggang adalah organ paling diperlukan kerana jumlah pesakit kegagalan buah pinggang semakin meningkat.
“Buah pinggang adalah organ yang tidak menyebabkan kematian kepada penderma setelah didermakan.
“Manusia mempunyai dua buah pinggang dan boleh hidup normal dengan mempunyai hanya satu sahaja buah pinggang berbanding organ lain seperti jantung atau paru-paru,” ujarnya.
Justeru itu jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran agar lebih ramai berikrar untuk menderma organ dan usaha berkenaan sepatutnya tidak mengharapkan pasukan perubatan sahaja.
Kosmo! semalam melaporkan pengorbanan ahli keluarga yang sanggup mendermakan buah pinggang selepas tidak sanggup melihat orang tersayang menanggung kesakitan.
Mereka sanggup berkongsi organ asalkan penerima iaitu suami, isteri, anak atau adai-beradik sihat semula dan menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa perlu melakukan rawatan dialisis seumur hidup.














