fbpx
Tasik Paya Bungor yang pernah menjadi lokasi acara sukan air pada Sukma Pahang 1996 terbiar tanpa penjagaan sewajarnya.

Tasik lokasi Sukma menyeramkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Entah di mana silap­nya, Tasik Paya Bungor di sini yang suatu ketika dahulu nama­nya hampir menyamai ke­masyhuran Tasik Bera dan Tasik Chini kerana landskapnya menarik dan memukau pelancong kini menjadi sebaliknya apabila semua fasiliti yang disediakan terbiar dan rosak, selain dipenuhi semak samun.

Malahan tasik berkenaan pernah menjadi lokasi bagi acara sukan air dan lumba perahu ketika Pahang menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 1996.

Selain itu, Menteri Besar Pahang ketika itu, Datuk Seri Khalil Yaakob dan Exco Kerajaan Pahang, Allahyarham Datuk Seri Dr. Othman mencabar diri menyelam di tasik itu bagi membuktikan kawasan itu selamat untuk aktiviti sukan air.

Pada masa itu, terdapat pelbagai kemudahan penginapan dan infrastruktur yang disediakan untuk pengunjung seperti calet, surau, deretan kedai makan, tandas awam dan tempat berehat.

Kini segala keindahan dan kedamaian Tasik Paya Bungor menjadi sepi dan suram serta jeti dan calet yang dibina hampi roboh, manakala rumah-rumah persinggahan dan gerai yang dahulunya meriah bagaikan ‘taman hutan’.

Seorang penduduk, Norezah Abdul Rahman, 48, berkata, dia kesal apabila keindahan tasik berkenaan kini lenyap dan tidak dapat dinikmati khususnya ­generasi baharu.

“Saya masih ingat pernah mengadakan aktiviti keluarga di sebuah resort di Tasik Paya ­Bungor dengan aktiviti berpe­rahu menyeberang tasik ini dan memancing pada 1992, tetapi kini tinggal kenangan,” katanya.

Sementara itu, penyelidik budaya Pahang, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Tasik Paya Bungor perlu dibangunkan kembali dan dijadikan kawasan rehat dan rawat (R&R) kerana lokasinya sangat mendamaikan.

Beliau yang pernah menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Paya Bungor di sini berkata, kawasan itu berpotensi untuk dijadikan aktiviti ekonomi dan rekreasi termasuk aktiviti memancing dan sukan air.

“Tasik semula jadi itu wujud selepas banjir besar melanda Pahang tahun 1926 tidak pernah kering walaupun musim kemarau dihuni ratusan spesies ikan se­perti tapah, toman, haruan dan sebagainya.

“Sekiranya Tasik Paya Bungor dapat dibangunkan semula, ia akan merangsang aktiviti seni penduduk tempatan sedia wujud seperti tarian inai, dikir rebana, tarian piring, silat pedang dan lain-lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN