GUA MUSANG – Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka di sebuah sekolah rendah di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) di sini bimbang apabila lebih 10 buah lori berulang-alik di laluan depan sekolah tersebut ketika waktu puncak sesi persekolahan.
Mereka mendakwa, lori-lori itu yang membawa balak atau tanpa muatan melalui jalan tersebut ketika murid-murid pulang dari sekolah bermula pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang.
Seorang suri rumah, Emma Iman, 32, berkata, mereka bimbang setiap kali berselisih dengan treler yang membawa muatan balak.
Katanya, ibu bapa berharap agar pemandu treler balak atau kenderaan berat dapat mengehadkan aktiviti dan waktu perjalanan dengan tidak melalui jalan berkenaan sehingga tamat sesi persekolahan.
“Apabila murid sekolah keluar, kami melihat treler dan lori balak juga sibuk berulang-alik di hadapan sekolah.
“Sebagai ibu bapa, nyawa anak sangat penting. Jadi, saya berharap pihak berwajib dapat mengehadkan masa lori balak untuk bergerak ke tempat masing-masing,” katanya.
Seorang bapa, Mohammad Azman Mohammad Noor, 46, berkata, treler balak akan melalui jalan itu untuk ke kawasan berhampiran Pos Bihai dan Pos Tohoi di sini bagi mengambil kayu balak seawal pukul 7 pagi.
Katanya, penduduk terutamanya Orang Asli terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan berat walaupun jalan sempit sejak berpuluh tahun lalu.
“Selain itu, kita berharap pihak penguat kuasa dapat membuat pemantauan atau rondaan bagi mengekang pemandu treler yang membawa muatan lebih,” katanya.














