fbpx
Projek pembersihan puncak menara Merdeka 118 baru-baru ini disertai tujuh anggota Anas Empire Group Sdn. Bhd. termasuk seorang wanita.- IHSAN ANAS EMPIRE GROUP SDN. BHD.

Cabaran membersih ‘tangan’ Tunku Abdul Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT berada di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia, segala perasaan yang bercampur baur daripada gayat, takut dan penat dirasai pemuda itu hilang dek keindahan panorama ibu kota Kuala Lumpur yang luas terbentang di depan mata.

Pemuda tersebut turut berasa bangga kerana dia juga menjadi orang pertama yang mengibarkan Jalur Gemilang di puncak menara Merdeka 118, sekali gus menjadi momen terindah dalam hidupnya.

Keberadaan Abdul Razak Hamzah, 32, di situ bukanlah kerana menceroboh untuk memanjat bangunan tersebut hingga ke titik teratas, tetapi dia menggalas tugas mencabar dalam perkhidmatan akses tali (rope access) di puncak menara atau dikenali sebagai spire.

Dia bersama enam rakannya ditugaskan melakukan pembersihan penuh di bahagian spire baru-baru ini dan aksi mereka turut tular.

Menurutnya yang merupakan juruteknik akses tali, peluang untuk berada di kedudukan tertinggi itu bukanlah mudah untuk diperoleh begitu sahaja dan apabila diberi tugasan berkhidmat di menara berkenaan dia mengambil peluang untuk mencipta rekod tersendiri bersama rakan kerja lain.

“Bukan semua orang boleh berada pada ketinggian 678.9 meter melainkan dia adalah pekerja yang membina menara itu atau melaksanakan tugas penyelenggaraan dan saya adalah antara insan terpilih dapat menjejak kaki di puncak menara tertinggi Malaysia itu.

“Walaupun tujuan asal adalah untuk membersihkan spire, saya boleh katakan ia pengalaman paling membanggakan terutama apabila menjadi orang pertama mengibarkan bendera Malaysia di puncak menara itu,” katanya ketika ditemui K2 di sebuah kafe di Puncak Jalil, Selangor baru-baru ini.

Menara Merdeka 118 yang direka menyerupai Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan ‘merdeka’ merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (829.8m).

Ditugaskan membersihkan ‘tangan’ Tunku Abdul Rahman itu, Abdul Razak dan rakan-rakannya dari Anas Empire Group Sdn. Bhd. membersihkan spire bagi mengelak kerosakan semula jadi seperti karat dan kulat di bahagian itu.

Tambah Abdul Razak, dia juga beruntung kerana menerusi kerjayanya juga dia dapat menyimpan banyak memori berada di bangunan-bangunan tinggi di Malaysia termasuk Menara Berkembar Petronas, KLCC.

Akses tali atau dikenali sebagai pendakian industri atau komersial ialah satu kerjaya melibatkan penggunaan tali untuk melakukan tugas di tempat tinggi biasanya lebih 50 tingkat.

Tergolong dalam pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar), ia pada mulanya dibangunkan daripada teknik yang digunakan dalam pendakian dan gua, di mana tugas ini menggunakan tali praktikal untuk membolehkan pekerja mengakses lokasi yang sukar dicapai tanpa menggunakan perancah, buaian atau platform kerja udara.

Juruteknik akses tali turun, naik dan melintasi tali untuk akses dan bekerja sambil digantung oleh abah-abah.

Juruteknik akses tali daripada kumpulan Anas Empire Group Sdn. Bhd. menarik perhatian baru-baru ini apabila berada di puncak Menara Merdeka 118 di ibu kota untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Di Malaysia, kerjaya akses tali biasanya dipelopori warga asing yang banyak melibatkan diri dalam pekerjaan 3D. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, ramai anak muda

Malaysia mula menunjukkan minat melibatkan diri dalam sektor itu menerusi kemunculan agensi-agensi tempatan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Menurut pengasas Anas Empire Group Sdn. Bhd., Ahmad Mujahid Abdul Hadi, minatnya dalam kerjaya berkenaan bermula sejak dia menyertai

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada tahun 2006.

Katanya, dalam latihan di APM dia didedahkan dengan pelbagai rutin menggunakan tali dan pada masa sama menyertai pertandingan mendaki tempat tinggi di dalam dan luar negara.

“Menerusi pendedahan tersebutlah saya dapat tahu tentang kerjaya akses tali yang merupakan pekerjaan kurang diceburi orang tempatan kerana kurangnya pendedahan serta agensi latihan untuk pekerjaan itu.

“Oleh demikian pada tahun 2009, saya mula menubuhkan ANAS Consultancy & Services (ACS) dengan status perkongsian dan ditubuhkan sebagai pakar dalam bidang industri, komersial serta khusus dalam latihan dan rekreasi,” ujarnya.

Tambahnya, penglibatan dalam bidang ini lebih daripada 9 tahun telah memberi peluang kepada pihaknya berkembang maju dan menaik taraf status perniagaan daripada perkongsian kepada Anas Empire Group Sdn. Bhd.

Kongsinya yang telah menyumbang khidmat di pelbagai menara tinggi di Malaysia, pengalaman berkhidmat membersihkan spire Merdeka 118 sebagai satu pencapaian bukan sahaja untuk syarikat tetapi juga diri sendiri.

“Saya memang teruja apabila dimaklumkan syarikat kami memperoleh tawaran membersihkan bahagian atas menara yang menjadi simbolik kepada tangan bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman.

“Menjalankan tugas di situ memberi saya pendedahan baharu dalam aspek perkhidmatan dan keselamatan berikutan cabaran yang kami hadapi sepanjang berada di atas menara tersebut,” kongsinya.

Berpeluang berbakti kepada negara dengan melakukan pembersihan pada puncak bangunan kedua tertinggi dunia yang menjadi tumpuan ramai itu sememangnya membanggakannya.

“Tentu saya berbangga kerana dapat menyalurkan khidmat bakti. Pasukan kami juga merupakan yang pertama membersihkan spire selepas siap dibina, membawa absailer wanita pertama di spire dan yang pertama mengibarkan bendera Malaysia di puncak menara Merdeka 118. Jika ada peluang lagi kami sedia berkhidmat lagi di Merdeka 118,” katanya.

Jelas beliau, cabaran di atas menara tersebut melibatkan pelbagai perkara termasuk cuaca, keadaan angin dan laluan spire yang semakin sempit menuju ke puncak.

Cabaran tersebut turut dihadapi oleh juruteknik asas tali wanita, Aiza Faizin Mohd. Rosli, 31, yang merupakan satu-satunya kaum Hawa dalam projek itu.

Katanya sebagai wanita, tentunya dia berdepan cabaran yang lebih memandangkan kudratnya tidaklah sekuat kaum lelaki, namun begitu konsep kerjasama dan toleransi banyak membantunya.

“Tidak kira lelaki atau wanita, dalam satu pasukan kita perlu saling membantu kerana di atas sana tidak ada orang lain melainkan pasukan akses tali yang bertugas membersihkan spire.

“Saya mungkin tidak kuat dari segi kudrat tetapi kepakaran dalam tugas menjadi sebab saya terlibat dalam pekerjaan ini dan pada masa sama membuktikan wanita juga mampu ceburi kerjaya 3D dengan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN