fbpx
Siti menunjukkan dokumen berkaitan skim pelaburan palsu yang disertainya kepada wartawan Kosmo!.

Duit RM138,000 lebur, scammer hilang diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Terdapat pegawai bank menjadi tali barut scammer untuk memperdayakan orang ramai yang membuat pinjaman peribadi ratusan ribu ringgit supaya menyertai skim pelaburan palsu.

Scammer akan berkomplot dengan ‘banker’ terbabit bagi meyakinkan peminjam agar membuat pelaburan yang kononnya mampu meraih keuntungan lumayan selain memudahkan urusan pinjaman mereka.

Pegawai bank terbabit juga dipercayai akan menerima imbuhan atau komisen tinggi daripada sindiket pelaburan palsu berkenaan.

Mendedahkan kegiatan itu kepada Kosmo!, seorang mangsa dikenali sebagai Siti, 33, berkata, dia mengalami kerugian RM138,000 selepas seorang pegawai bank memper­kenalkan satu skim pelaburan ketika mahu membuat pinjaman peribadi pada Julai tahun lalu.

Pada awalnya wanita itu tidak mempercayai pelaburan tersebut, namun ‘termakan’ pujukan apabila pegawai bank terbabit menunjuk keuntungan yang diperoleh pelabur lain menerusi skim ber­kenaan yang kononnya sah.

“Saya kemudian diperkenalkan kepada sindiket pelaburan dan ketika taklimat secara online, mereka menerangkan jenis skim dan keuntungan yang bakal diperoleh setiap bulan.

“Contohnya jika melabur RM23,000, pulangan RM800 setiap bulan, manakala sekiranya labur RM46,000 pula, pulangan RM1,600 sebulan.

“Selepas taklimat, pihak ter­babit minta saya kongsikan pe­nyata gaji tiga bulan dan komitmen bulanan untuk diberikan kepada pegawai yang berkomplot dengan mereka,” katanya.

Siti memberitahu, scammer juga mendesak pegawai bank terbabit supaya segera memproses pinjaman peribadi yang dibuatnya berjumlah RM103,000 bagi tempoh 10 tahun.

Katanya, selepas duit pinjaman masuk ke dalam akaun, scammer memintanya mengeluarkan wang secara tunai dan diberikan kepada mereka.

“Mereka kata duit saya akan ditukarkan kepada mata wang dolar AS dan kononnya untuk pelbagai aktiviti pelaburan,” ujarnya.

Menurutnya, dia membuat pelaburan paling tinggi iaitu RM138,000 untuk pulangan sebanyak RM7,200 setiap bulan.

Ujarnya, kesemua pinjaman peribadinya telah dilaburkan dan dia turut mengeluarkan duit daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM35,000 untuk pelaburan itu.

“Selepas serah ke­semua wang, scammer terbabit menghilangkan diri dan pegawai bank terbabit pula enggan bertanggungjawab.

“Saya sangat sedih kerana tidak dapat langsung merasa satu sen pun pulangan tersebut. Perit untuk saya telan. Scammer untung atas angin, saya pula de­rita tanggung hutang,” ujarnya.

Situasi sama dihadapi seorang mangsa dikenali sebagai Abdul, 32, yang kini menanggung hutang RM1,300 sebulan dengan pinjaman peribadi RM100,000 bagi tempoh 10 tahun.

Menurutnya, dia telah me­nyertai satu pelaburan yang diperkenalkan oleh seorang pegawai bank pada September tahun lalu.

“Pegawai bank cadangkan kepada saya satu pelaburan kononnya dalam industri robotik yang telah di­sertai pelanggannya dan me­minta saya berhubung dengan pelanggannya itu.

“Saya dijemput dengar satu taklimat secara online dan menyertai mereka selepas tertarik dengan pulangan yang bakal di­terima,” ujarnya.

Bagaimanapun, selepas habis duit dilaburkan, sindiket terbabit lesap begitu sahaja.

Kedua-dua mangsa akan membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam tempoh terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN