fbpx
Banyak kajian dilakukan menunjukkan bahawa gajet memberi kesan kepada perkembangan komunikasi, bahasa dan sosial kanak-kanak. - Gambar hiasan

Ibu bapa punca anak hanyut dengan gajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA anda berada di restoran atau sesekali berkumpul bersama keluarga besar ketika pe­rayaan atau hari cuti, cuba perhatikan aktiviti kanak-kanak di sekeliling.

Adakah mereka lebih ­banyak bermain bersama-sama, berkejaran atau bersembang berbanding menghadap gajet terutamanya telefon pintar?

Penulis pasti ramai menjawab pilihan keempat kerana ia kini bagaikan situasi biasa yang sering kita lihat, selain ibu bapa turut asyik menonton video tular di laman sosial.

Banyak kajian dilakukan menunjukkan bahawa gajet memberi kesan kepada perkembangan komunikasi, bahasa dan sosial kanak-kanak.

Apabila banyak masa diperuntukkan kepada gajet, mereka hilang minat dengan dunia luar sekali gus menyebabkan kanak-kanak berada dalam ‘dunia’ sendiri.

Animasi, grafik dan video contohnya, lebih menarik minat mereka berbanding persekitaran, seterusnya memberi kesan kepada perkembangan bahasa kerana mereka hanya memerhati dan kurang dengan berinteraksi dengan orang lain.

Disebabkan itulah, kita ­sering mendengar keluhan ibu bapa mengenai masalah anak-anak lambat bertutur atau speech delay. Ia bukan disebabkan masalah daripada diri kanak-kanak itu sendiri, sebaliknya tabiat mereka yang tidak bercakap dengan orang sekeliling kerana adanya gajet.

Lebih memburukkan situasi, kesibukan ibu bapa membuatkan komunikasi dua hala tidak banyak berlaku di rumah mahupun ketika menikmati makan malam, menyebabkan si anak terus hanyut dengan dunia ­gajet.

Menurut Pensyarah Kanan (Psikologi Perkembangan), Pusat Kajian Psikologi dan Kese­jahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Siti

Marziah Zakaria, kanak-kanak yang ketagih dengan gajet lebih suka menyendiri berbanding berada dalam kumpulan.

“Gajet juga melemahkan kemahiran menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan pemikiran kritikal. Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada gajet lebih cepat marah, gagal mengawal emosi, kurang empati dan bertindak agresif,” katanya.

Justeru, menurut beliau, ibu bapa perlu menggunakan ‘kuasa veto’ dengan mengehadkan masa anak menggunakan gajet, dengan tempoh maksimum dua jam sehari.

“Lebih utama, pantau aplikasi yang digunakan oleh anak-anak. Pada masa kini, kanak-kanak sangat terdedah kepada laman web pornografi jika tiada pemantauan ibu bapa,” ujarnya.

Mengimbau kembali zaman kanak-kanak tanpa gajet, penulis pasti ramai antara ibu bapa seusia penulis atau yang lebih berumur, menikmati ‘era kege­milangan’ tersebut yang masih segar di ingatan sehingga kini.

Bermain kejar-kejar dengan rakan-rakan, masak-masak, permainan tradisional seperti congkak atau galah panjang mahupun badminton, semua itu banyak membantu perkembangan sosial kita.

Mungkin tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa di­sebabkan teknologi seperti gajet, membuatkan kita melahirkan generasi yang lembik, tidak ada skil survival, lemah dalam bersosial, sering memberontak dan sukar mendengar kata.

Tepuk dada, tanya selera, sama ada kita mahu menjadi ibu bapa yang ‘merosakkan’ anak dengan membiarkan mereka menghadap gajet sepanjang masa, atau ibu bapa yang menghasilkan anak-anak bijak serta menjadi ‘insan’ sejati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN