PETALING JAYA – Setiap pasangan perlu menyelesaikan isu-isu rumah tangga dengan bijaksana tanpa melibatkan sebarang lafaz cerai termasuk dalam hal membabitkan trend teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kecanggihan teknologi seperti AI memang boleh menyebabkan pertengkaran dan perkelahian dalam rumah tangga, seterusnya boleh membawa kepada lafaz perceraian di luar mahkamah.
Bagaimanapun kata beliau, dari segi undang-undang, jika sesuatu gambar janaan AI itu dijadikan sebagai bahan untuk dakwaan, maka ia perlu dibuktikan kesahihannya.
“Andai kata pasangan suami isteri bergaduh dan bercerai gara-gara gambar yang dijana oleh AI dengan individu lain, maka ketepatannya perlu dibuktikan kepada mahkamah.
“Mahkamah tidak akan menerima sesuatu dakwaan dengan sewenang-wenangnya melainkan ia dibuktikan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu, pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd. Bakri Syed Ishak berkata, individu bujang yang terlalu taksub dan berfantasi menggunakan AI sepatutnya perlu mendirikan rumah tangga daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Beliau berkata, pihak berkuasa dalam bidang agama juga perlu memperketatkan, malah memberi amaran kepada mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan menjana video AI seperti berpelukan atau berciuman dengan pasangan bukan mahram.
“Walaupun ia bukan realiti dan hanya fantasi, tetapi semua perkara yang menjuruskan kepada zina ataupun perbuatan mungkar adalah dilarang dari sudut syarak.
“Allah SWT pernah menyatakan; ‘dan jangan kamu dekati dengan zina’. Makna kata, dekat pun tak boleh. Salah satu cara kita mendekatkan diri dengan zina ialah dengan kita membuat perkara-perkara yang menjurus ke arah itu.
“Atau yang membuat kita memikirkan perkara-perkara yang maksiat kepada Allah SWT. Jadi perbuatan mungkar ini saya menentang sehabis-habis keras terutama bagi para muslimah dan muslimin sekalian,” katanya. -KOSMO! ONLINE















