KUALA LUMPUR – “Kami akan dipukul sampai tinggal nyawa-nyawa ikan jika gagal capai ‘target’ atau melawan sebelum dimasukkan ke dalam bilik gelap dan kemudian organ akan dijual.”
Itu kata bekas guru mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang dikenali sebagai Ann, 25, ketika ditemu bual Kosmo! secara eksklusif di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) semalam.
Ann berkata, kejadian berlaku apabila dia terperangkap hampir sebulan di Myanmar selepas ditipu seorang kenalan ketika berada di Thailand pada awal April lalu.
Katanya, dia pergi ke Thailand untuk bercuti sambil mencari pekerjaan selepas berhenti kerja sebagai guru sekolah swasta awal tahun lalu akibat tekanan.
Bagaimanapun, katanya, percutian untuk mengurangkan stres di Thailand itu bertukar tragedi.
“Kisah malang ini bermula pada 2 April lalu apabila saya pergi bercuti ke Thailand atas ajakan seorang kawan yang saya kenal ketika belajar di sebuah universiti di Taiwan.
“Setiba di Bangkok, Thailand, kenalan saya itu tidak muncul dan dia telah memberi satu alamat supaya pergi ke sana dengan menaiki teksi yang disediakannya.
“Ketika berada di dalam teksi, saya diberi satu air minuman dan selepas minum, saya pengsan. Apabila saya sedar tujuh jam kemudian, saya berada di Mae Sot iaitu sempadan di antara Thailand dan Myanmar,” katanya.
Ann yang berasal dari Johor memberitahu, dia kemudian dibawa merentasi sempadan ke Myanmar melalui jalan air dan ketika itu pihak sindiket telah menutup kepalanya dan hanya mendengar deruan enjin bot.
“Setelah lebih sejam berada di atas bot, saya sampai di satu kawasan di Myanmar dan saya ditempatkan di dalam sebuah rumah transit yang dikawal ketat oleh ahli-ahli sindiket dan tentera upahan.

“Ketika di rumah transit, saya diugut dengan diberikan dua pilihan sama ada bekerja sebagai scammer atau diserahkan kepada sindiket menjual organ.
“Saya terpaksa memilih untuk bekerja sebagai scammer kerana takut dibunuh,” ujarnya.
Ann berkata, dia kemudian dibawa ke sebuah kawasan di Myawaddy, Myanmar sebelum dipaksa bekerja dengan sindiket scammer yang menyasarkan mangsa dari Amerika Syarikat.
Ujarnya, sepanjang 24 hari menjadi scammer, dia dipaksa bekerja lebih 14 jam sehari dan perlu mencapai ‘target’ sekurang-kurangnya berjaya menipu mangsa dengan nilai kerugian AS$3,000 (RM12,959) setiap bulan.
“Jika ingkar arahan atau gagal mencapai sasaran, kami akan disimbah air, dikenakan renjatan elektrik atau dikurung di dalam bilik gelap sebelum dipukul hingga hampir mati.
“Biasanya pesalah bilik gelap akan berakhir dengan kematian kerana mereka akan dijual kepada sindiket menjual organ.
“Hampir setiap hari akan ada mangsa yang akan dibawa ke bilik gelap,” katanya.
Difahamkan, sindiket terbabit akan menjual seluruh tubuh mangsa termasuk darah, kulit dan organ-organ.
Permintaan organ sangat tinggi di Myanmar dan China sehingga satu liter darah boleh dijual kira-kira AS$800 (RM3,455).
Ann memberitahu, dia akhirnya berjaya melarikan diri selepas membuat helah terkena asma semasa bekerja sehingga terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan bandar terbabit.
Katanya, dia ditahan di wad selama satu malam dan keesokkan harinya pada 27 April lalu, Ann berjaya melarikan diri selepas memperdaya ahli sindiket kononnya untuk ke tandas.
“Saya larikan diri ke sebuah restoran sebelum diselamatkan oleh pemilik restoran itu. Dia membantu saya menghubungi kakak di Malaysia,” ujarnya.
Katanya, dia hanya sempat membawa pasport ketika melarikan diri, manakala telefon telah dirampas sindiket.
Tambahnya, terdapat empat lagi rakyat Malaysia yang masih terperangkap dengan sindiket terbabit ketika ini.















