fbpx
MUHAMAD ZAIM mengambil masa selama hampir 18 bulan untuk menyiapkan semua karya dalam pameran Resolute yang dihasilkan semuanya menggunakan pen mata bola semata-mata.

Habis lebih 400 ball pen hasilkan 19 karya seni merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI salah seorang peminat hasil karya seni, Datuk Lim Chee Wee, 56, tidak melepaskan peluang untuk hadir ke galeri-galeri yang mengadakan pameran.

Baru-baru ini, Chee Wee juga tidak melepaskan peluang untuk hadir ke pameran seni ‘Resolute’ yang diadakan di Artas Galeri di Petaling Jaya, Selangor.

Pameran itu menampilkan hasil karya pelukis muda negara, Muhamad Zaim Kamaruzaman sempena menyambut bulan kemerdekaan negara.

Chee Wee berkata, dia kagum melihat karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis muda itu.

Dia juga tidak melepaskan peluang membeli salah satu karya dihasilkan oleh Muhamad Zaim untuk disimpan.

“Saya amat tertarik dan berminat dengan karyanya berjudul Resolute O5 yang melambangkan Negeri Sembilan.

“Saya berasal dari Negeri Sembilan dan sangat berbangga menjadi anak jati negeri berkenaan.

“Saya mahu meletakkan lukisan ini di pejabat dan menunjukkan kepada mereka yang hadir bahawa saya anak Negeri Sembilan,” jelas Chee Wee.

Mengulas lanjut, Chee Wee berkata, pelukis muda itu mempunyai bakat tersendiri dalam menghasilkan tema untuk pameran solonya kali ini.

Salah satu karya menarik yang dihasilkan oleh Muhamad Zaim.

Bersesuaian dengan tema merdeka, karya-karya dihasilkan oleh Muhamad Zaim menunjukkan bahawa kita perlu berbangga menjadi rakyat Malaysia.

“Saya juga berminat untuk membeli lukisan-lukisannya yang lain. Malangnya, kebanyakan karyanya telah dibeli oleh orang lain.

“Saya berharap pelukis-pelukis muda yang lain turut diberi peluang dan ruang untuk mengetengahkan karya mereka dalam pameran solo. Ini bagi membolehkan lebih ramai orang mengenali mereka,” ujar Chee Wee.

Dalam pada itu, Muhamad Zaim berkata, karya seni tersebut sebagai satu bentuk apresiasinya kepada negara tercinta.

Ujarnya, dia menyalurkan rasa cinta kepada Malaysia melalui karya seni.

Karya seni yang dihasilkannya menyalurkan mesej perpaduan, ketahanan dan identiti bersama masyarakat Malaysia.

Menurut Muhamad Zaim, ia merupakan pameran solo pertamanya sejak terlibat secara serius dalam dunia seni setelah menamatkan pengajiannya pada 2021.

“Apa yang boleh saya katakan, pemeran solo kali ini merupakan satu bentuk apresiasi terhadap negara melalui karya seni.

“Untuk pameran kali ini, saya menghasilkan 19 siri lukisan bertemakan ‘Resolute’ atau tegas,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Menerusi siri lukisan itu juga, Muhamad Zaim meneroka makna pelbagai bentuk perkataan ‘tegas’ yang menekankan keteguhan dalam agama, kesetiaan kepada raja dan negara serta dedikasi tidak berbelah bahagi kepada negara.

TENGKU ZAFRUL

Karyanya diolah untuk mewakili kekuatan institusi dan kerajaan menggunakan konsep monumen sebagai metafora.

Dia menampilkan garisan dengan menggunakan pen mata bola dan menyemai setiap bahagian dengan makna mendalam serta simbolisme patriotik.

Elemen-elemen itu direka bentuk untuk membangkitkan rasa bangga dan perpaduan negara, sekali gus menggalakkan penonton menghargai identiti Malaysia.

Karyanya yang berjudul, Rukun merupakan salah satu lukisan Muhamad Zaim yang dipersembahkannya dalam pameran itu.

Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan dalam karya tersebut adalah tentang sebuah negara hebat dan teguh yang dibentuk dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat jelata dan para pemimpin.

“Lima tiang berdiri teguh dalam lukisan ini adalah simbol kepada prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan serta tunjang kepada kukuhnya negara kita pada hari ini.

“Manakala, lirik penuh lagu Negaraku yang menjadi lagu kebangsaan menjadi keramat yang menyatukan kita sebagai bangsa Malaysia.

“Jata Negara pula menjadi simbol kepada kerajaan yang sentiasa memimpin kita ke arah kemajuan dan menjadi negara aman sejahtera,” terangnya.

Sementara itu, satu aspek yang ketara dalam siri lukisan itu adalah perwakilan 14 negeri di Malaysia melalui karya seni.

Setiap helaian diilhamkan oleh kod negeri pada kad pengenalan, sekali gus melambangkan kepelbagaian dan perpaduan negara.

Selain itu, antara karyanya yang menarik termasuk berjudul Tiga Jalur Gemilang.

Muhamad Zaim menjelaskan, karya itu menampilkan imej bendera Malaysia yang bertindih.

“Karya ini melambangkan perpaduan tiga kumpulan etnik utama Malaysia di bawah satu bendera.

“Ia mempromosikan nilai-nilai keharmonian dan identiti kolektif, walaupun terdapat perbezaan budaya,” terangnya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaim menjelaskan, semua karyanya dihasilkan menggunakan teknik ‘cross hatching’.

Menurutnya, teknik itu memerlukannya membuat garisan secara bersilang dan berulang sehingga mendapat tona gelap.

“Medium yang saya gunakan untuk menghasilkan siri lukisan ini adalah kanvas mentah dan pen mata bola.

“Saya menggunakan lebih 400 batang pen mata bola untuk menyiapkan semua lukisan ini yang mengambil masa hampir 18 bulan,” jelasnya.

Cabaran yang dihadapinya untuk menyempurnakan semua lukisan itu adalah mendapatkan warna gelap pada bahagian latar belakang.

Ujarnya, dia perlu ‘bermain’ dengan pen mata bola untuk mendapatkan warna gelap latar belakang seperti yang dimahukan.

“Untuk latar belakang, saya perlu melakukan lima lapisan untuk mendapatkan warna gelap.

“Bagi subjek pula, saya memerlukan dua atau tiga lapisan.

“Dalam sehari saya menghabiskan masa hampir lapan jam untuk melukis karya-karya ini,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN