KLANG – Helikopter yang terhempas di kawasan tanah lapang berhampiran Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pelabuhan Barat pagi tadi dipercayai sedang membuat penerbangan latihan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati juruterbang helikopter berusia 72 tahun itu didapati telah hilang kawalan ketika membuat latihan ‘hovering’ dan terhempas dari ketinggian lebih kurang 4 meter.
Katanya, helikopter persendirian jenis Robinson itu milik sebuah syarikat di Subang.
“Bahagian ekor helikopter itu tercabut dan tercampak lebih kurang 20 meter daripada badan helikopter selepas terhempas di kawasan tanah lapang milik persendirian berkenaan.
“Kedua-dua mangsa termasuk penumpang helikopter berkenaan yang mengalami cedera ringan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, siasatan akan dijalankan pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.
Kosmo! terdahulu melaporkan dua lelaki cedera apabila helikopter persendirian yang dinaiki terhempas di kawasan lapang Jalan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pelabuhan Barat, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.57 pagi itu, mangsa, Khairudin Dahlan, 72 yang merupakan juruterbang cedera di tangan kiri manakala rakannya, Moithu Kutti Mohamad, 52, hanya mengalami luka kecil.-K!ONLINE














