KETIKA melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi sekitar tahun 2000-an, pemuda itu amat teruja untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan bagi menggapai segulung diploma di tangan.
Namun, ada perkara yang membuatkan dirinya runsing iaitu melengkapkan keperluan untuk pembelajaran memasuki semester satu di pusat pengajian tinggi yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (kini Universiti Islam Melaka).
Menurut pemuda asal Bangi, Selangor, Zulkifli Abu Bakar, 36, perkara yang difikirkan ketika itu adalah untuk membeli komputer riba dan mesin pencetak bagi kegunaan pembelajaran.
Katanya, dalam fikirannya saat itu adalah kos untuk mendapatkan kelengkapan tersebut yang pastinya menelan belanja beribu-ribu ringgit.
“Bila mahu sambung belajar, banyak perkara perlu difikirkan dan pada masa sama komputer riba adalah satu keperluan terutama bagi menyiapkan tugasan subjek.
“Membelinya juga menelan kos tinggi dan saya cuba memikirkan bagaimana untuk mendapatkannya hingga satu hari kakak mencadangkan supaya pergi ke Plaza Low Yat. Di situlah akhirnya saya menghela nafas lega kerana terdapat pelbagai pilihan komputer riba yang ditawarkan pada pelbagai julat harga.
“Memandangkan saya mempunyai bajet sekitar RM1,000, saya memutuskan untuk membeli komputer riba terpakai yang setelah diteliti masih berfungsi dengan baik. Walaupun komputer riba saya terpakai, sepanjang pengajian ia tidak pernah mengalami masalah dan berfungsi dengan baik sehingga saya tamat pengajian semester enam,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Begitulah imbas bapa kepada dua cahaya mata itu tentang memorinya bersama Plaza Low Yat di Kuala Lumpur.
Bukan sahaja Zulkifli, bahkan banyak rakyat Malaysia yang pastinya mempunyai kenangan bersama plaza itu yang cukup sinonim dengan dunia teknologi maklumat (IT) rakyat Malaysia.
Mula beroperasi di penghujung 1990-an ketika era IT hangat di negara ini dan lagu kempen, Cinta IT terus berkumandang, Plaza Low Yat bagaikan nadi kepada pengetahuan serta kemahiran teknologi dan gajet dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pasti ramai juga yang membeli telefon bimbit pertama mereka di gedung ini, bukan?
Plaza Low Yat merupakan sebuah lokasi yang mengumpulkan kedai-kedai menjual barang elektronik IT.
Zulkifli bahkan berkongsi semasa komputer riba rakannya mengalami masalah diserang virus, dia turut mencadangkannya supaya ke Plaza Low Yat kerana di situ juga terdapat khidmat membaiki komputer riba.
Plaza Low Yat sudah sebati dengan rakyat Malaysia sebagai hab produk elektronik IT yang utama di Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, Plaza Low Yat menjadi lokasi utama untuk mendapatkan produk IT seperti komputer riba, telefon pintar, aksesori dan lain-lain.
Plaza Low Yat juga mendapat pengiktirafan Gedung Gaya Hidup IT Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun 2009 dan terus berkembang dengan menyediakan keperluan lengkap untuk teknologi digital, perkakasan dan perisian di ratusan kedai serta kios di dalamnya.
Malah, lokasi ini turut dilengkapi pelbagai pilihan tempat makan, pusat kecantikan dan kesihatan, fesyen, kemudahan, perkhidmatan serta lain-lain bagi menghubungkan persekitaran gaya hidup IT yang menyeluruh.
Meraikan sambutan ke 25 tahun penubuhannya, jurucakap Plaza Low Yat, Douglas Crichton berkongsi dalam perkembangan Plaza Low Yat selama lebih dua dekad, pihaknya sentiasa utuh mengekalkan identiti sebagai gedung IT tetapi pada masa sama komited menuju ke arah operasi lestari.
“Konsisten dalam mengekalkan budaya IT dan pengalaman gaya hidup IT, malah kami juga menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia yang melaksanakan inisiatif Program Pensijilan Stor (SCP) bertujuan memastikan kualiti dan keaslian dari segi produk ICT dalam pusat beli-belah.

“Dalam perancangan untuk 25 tahun akan datang, kami menyedari kepentingan untuk berkembang bukan saja dalam ruang teknologi tetapi dalam cara kami beroperasi sebagai perniagaan dan salah satu cara adalah dengan memulakan perjalanan ke arah amalan lebih hijau,” katanya ketika ditemui usai majlis pelancaran sambutan 25 tahun Plaza Low Yat baru-baru ini.
Tambahnya, antara usaha yang dilaksanakan adalah mengurangkan pelepasan karbon dan menyepadukan teknologi cekap tenaga.
Plaza Low Yat juga komited untuk memainkan peranan dalam mewujudkan masa depan yang mampan dengan mematuhi aspek lestari dalam semua aspek operasi meliputi meningkatkan kecekapan tenaga di gedung sehinggalah mengurangkan pembaziran dan menambah baik perkhidmatan.
Kongsinya, tahun lalu pihaknya telah melaksanakan pengubahsuaian menelan kos jutaan ringgit, menaik taraf lif, mengubah suai tandas dan menambah bilik persalinan bayi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.
Transformasi yang dilaksanakan oleh pihak Plaza Low Yat turut memberi manfaat kepada peniaga yang secara tidak langsung menarik minat pelanggan untuk datang ke pusat IT itu.
Kongsi Pengasas Top Phone Zone, Lim Sheng Huei, 52, selama 22 tahun berniaga di Plaza Low Yat, dia melihat pelbagai perkembangan yang berlaku di pusat itu, selain berpengalaman mendepani pelbagai kerenah pelanggan.
“Plaza Low Yat telah banyak berubah terutama dalam memastikan ia kekal relevan sebagai pusat beli-belah. Selain menaik taraf kemudahan, pihak plaza juga banyak membantu dari segi promosi untuk menarik minat pelanggan datang ke sini.
“Saya mengakui bahawa adat berniaga ada jatuh bangun, tambahan pula dengan trend perniagaan online masa kini, meskipun kunjungan di sini tidak semeriah dahulu yang pernah dikerumuni pengunjung, masih ramai orang datang untuk melihat sendiri produk di depan mata,” ujarnya.
Tambahnya, daripada pengalaman pelanggan juga, dia yang turut menyediakan perkhidmatan membaiki telefon mengatakan banyak kenangan menyentuh hati pernah dirasainya.
Antaranya pernah sekali seorang ibu datang kepadanya dan meminta untuk membaiki telefon mendiang anak yang rosak kerana kemalangan. Meskipun keadaan peranti itu agak teruk, dia cuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan data di dalamnya sepertimana permintaan wanita tersebut.
Selain berusaha membantu peniaga, Plaza Low Yat juga prihatin dengan kebajikan pekerja dan sentiasa menghargai mereka yang memberikan perkhidmatan terbaik.
Salah seorang pekerja paling lama berkhidmat, Sara Cheku, 59, berkongsi, selama 25 tahun bekerja di Plaza Low Yat, dia tidak pernah berasa asing meskipun bermula sebagai pengawal keselamatan.
“Saya bekerja di sini sejak ia ditubuhkan dan dari dulu pengurusan Plaza Low Yat sentiasa menerapkan elemen kekeluargaan bukan hanya dengan semua kakitangan tetapi juga peniaga-peniaga di sini.
“Saya juga banyak belajar sepanjang bekerja di sini dan tidak pernah merasa ingin berhenti kerana pengurusan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekerja yang membuatkan kami berdedikasi dalam berkhidmat,” ujarnya yang kini memegang jawatan sebagai Pegawai Kanan Keselamatan di Plaza Low Yat.














