fbpx
76 anggota polis Kontinjen Johor termasuk ahli keluarga disahkan positif Covid-19 setakat ini. Foto GAMBAR HIASAN

76 polis di Johor positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seramai 76 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini termasuk ahli keluarga disahkan positif Covid-19 setakat ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu melibatkan dua pegawai, 29 anggota, empat kakitangan awam dan 41 ahli keluarga.

Katanya, bagi mereka yang dikuarantin pula, membabitkan seramai 401 individu iaitu 16 pegawai, 366 anggota, tiga kakitangan awam dan 16 ahli keluarga.

“Angka ini dijangka akan meningkat dan sedang menunggu hasil ujian saringan yang dibuat.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi merekodkan kes paling tinggi setakat ini dengan 13 anggota dan 12 ahli keluarga manakala seramai 125 individu sedang kuarantin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, setakat ini, tenaga kerja PDRM Johor masih mencukupi biarpun kes positif dan yang sedang menjalani kuarantin kian meningkat.

“Kita juga akan mengatur gerak pasukan lain seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengemas kini kekuatan yang ada.

“Dalam pada masa yang sama, kita juga akan melihat di daerah mana yang ada lebihan untuk kita gunakan anggota terlibat bagi membantu daerah yang kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya juga akan menempatkan tahanan yang positif dari lain-lain daerah ke Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan tahanan di Lokap IPD Kota Tinggi dan hasil saringan mendapati 125 kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari sehingga 10 Januari melibatkan dewan yang menempatkan tahanan positif Covid-19 dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI