fbpx
Penguat kuasa imigresen membawa tiga suspek yang ditahan di pejabat Imigresen Kelana Jaya kelmarin.

Sijil lahir orang lain, pasport orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ejen sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini beralih de­ngan ‘mendampingi’ mana-mana warga tempatan untuk menjadi tali barut bagi membuat permohonan pasport Antarabangsa Malaysia (PMA).

Mereka dikatakan mendekati dan mencari tali barut tersebut di luar kawasan mana-mana pejabat Imigresen dengan menawarkan wang tunai sehingga RM2,000 bagi setiap permohonan yang berjaya diproses.

Syaratnya mudah iaitu bersedia ‘menjual’ sijil kelahiran termasuk milik anak mereka bagi permohonan PMA khususnya untuk warga Sri Lanka.

PMA menjadi pilihan susulan tidak banyak sekatan dari negara lain seterusnya memudahkan penghijrahan PATI selain menggantikan pasport asal yang telah tamat tempoh bagi mengelakkan diberkas pihak berkuasa.

Perkara itu terbongkar menerusi penahanan tiga warga tempatan termasuk dua beradik wanita berusia 32 hingga 38 tahun di pejabat imigresen cawangan Kelana Jaya kira-kira pukul 2.35 petang, kelmarin.

Pengarah Imigresen Sela­ngor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek tersebut telah membawa seorang remaja lelaki warga asing berusia 19 tahun ke kaunter bagi permohonan ­pasport.

Katanya, salah seorang daripada suspek mendakwa remaja itu adalah anak kandungnya dengan menyerahkan sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, penipuan tersebut terbongkar apabila semakan dokumen menunjukkan terdapat keraguan bagi permohonan pasport tersebut.

“Ini kerana sijil lahir permohonan diberikan adalah lahir pada 2014, manakala remaja warga ­asing yang dikatakan anak itu lahir pada 2005,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau memaklumkan hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada pengakuan remaja Sri Lanka bahawa sijil kelahiran tersebut bukan miliknya.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek yang mengaku adalah ibu kepada remaja tersebut telah ditawarkan RM2,000 oleh ejen bagi menggunakan sijil lahir anaknya.

“Semakan juga mendapati suspek adalah pekerja kilang tayar di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Khairrul Aminus menjelaskan, seorang lagi lelaki tempatan yang ditahan merupakan kekasih kepada salah seorang suspek ­wanita berkenaan.

“Tiga suspek tempatan kini direman empat hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 12A Akta Pasport 1966 (akta 150) dengan niat cuba memperdayakan pegawai imigresen.

“Manakala remaja warga ­asing itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN