fbpx
Keadaan di UTC, Komtar, George Town semalam kelihatan tenang kerana pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk berurusan.

Kaunter kerajaan tiba-tiba jadi cekap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Urusan di kaunter pejabat-pejabat kerajaan di seluruh negara bertambah baik dan berjalan lancar dengan pelanggan tidak menanti lama berurusan, selain prestasi kerja kakitangan awam juga semakin baik susulan pengumuman kenaikan gaji baharu, Jumaat lalu.

Tinjauan di beberapa kaunter perkhidmatan kerajaan me­nyaksikan kesemuanya dibuka bagi mengurangkan kesesakan selain meningkatkan mutu kerja serta penyampaian kepada masyarakat.

Di Putrajaya, rata-rata pe­ngunjung yang hadir di Pejabat Pasport Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Shaftsbury Putrajaya berpuas hati apabila tempoh menunggu kurang daripada 10 minit tanpa perlu beratur.

Seorang peniaga, R. Kumar, 49, berkata, dia amat bersyukur selepas proses bagi mengambil pasport adalah sangat singkat pada kali ini.

Katanya, sebelum ini dia pernah membuat urusan di beberapa pejabat JIM di sekitar Lembah Klang yang agak lama bagi pengambilan pasport, namun semalam adalah sangat berbeza dan ia sangat memudahkan urusan.

“Hari ini (semalam) saya nampak sistem adalah lebih baik de­ngan semua kaunter dibuka, tak sampai 10 minit urusan saya sudah selesai,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar mengumumkan bahawa secara purata, penjawat awam negara ini bakal menerima kenaikan gaji melebihi RM500 selepas berlaku pelarasan gaji baharu.

Sebahagian pelanggan mendapatkan perkhidmatan di kaunter JPN di UTC Kuala Terengganu semalam.

Sementara itu tinjauan yang dibuat di Sungai Petani, Kedah mendapati, peningkatan per­khidmatan awam yang disediakan di beberapa kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) menampakkan perubahan dan disenangi pelanggan yang datang untuk berurusan.

Seorang pelanggan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Shamhawaruddin Samah, 39, berkata, dia hanya mengambil masa kurang 20 minit untuk membuat permohonan mendapatkan MyKid anaknya yang berusia setahun tujuh bulan.

“Banyak kaunter yang dibuka dan urusan saya menjadi cepat. Kakitangan di sini juga memberikan layanan yang baik ketika menguruskan permohonan,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, suasana di kaunter UTC Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) juga berjalan lancar dan pelanggan dilihat tidak perlu menunggu giliran yang lama.

Seorang jururawat, Siti Faizah Abu Bakar, 38, berkata, semalam merupakan hari paling ‘indah’ buat dirinya apabila memulakan kerja dengan semangat luar biasa.

“Sepanjang 12 tahun bekerja, ini merupakan kenaikan kali yang kedua. Jadi, semangat dan budaya kerja itu nampak lain,” katanya.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, pula seorang suri rumah, Nurulhuda Abdul Basri, 46 berkata, urusannya untuk mendapatkan salinan sijil kelahirannya yang sudah terlalu lama dan terkoyak berjalan lancar tanpa menunggu terlalu lama di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di UTC Kuala Terengganu.

“Mula-mula agak risau juga perlu menunggu lama, tetapi alhamdulillah, urusan saya selesai dalam tempoh tidak sampai 15 minit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN