PETALING JAYA – Terdapat penghantar makanan yang mendedahkan mereka pernah menjadi mangsa gangguan seksual pelanggan miang termasuk berhadapan dengan wanita yang hanya memakai tuala ketika menghantar pesanan.
Menerusi pendedahan berani kepada Kosmo! Ahad, ada pelanggan yang kesunyian juga sanggup menawarkan diri untuk menjadi ‘peneman’ malam dan menghantar gambar serta mesej lucah kepada mereka.
Seorang rider yang mahu dikenali sebagai Ahsan, 28, berkata, dia sudah beberapa kali berdepan dengan pelanggan wanita yang berpakaian seksi dan jarang sehingga menampakkan tubuh badan sewaktu menghantar bungkusan makanan.
Katanya, dia sangat terkejut apabila ada pelanggan seolah-olah sedang menjual diri mereka apabila tampil dengan pakaian tidak senonoh di hadapan rider lelaki.
“Baru-baru ini, saya hantar pesanan di sebuah residensi di Ampang sekitar pukul 11 malam. Dalam pesanan itu, memang pelanggan tersebut letak nota maklumkan saya perlu letak makanan atas meja di tepi pintu rumah.
“Kata pelanggan terbabit, ‘sampai nanti buka sahaja pintu rumah sebab tak kunci dan letak makanan atas meja sebelah pintu, saya tak dapat nak gerak kaki sakit, minta maaf sangat’,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Ahsan memberitahu, alangkah terkejutnya apabila dia membuka pintu, terdapat seorang wanita yang hanya memakai tuala baring secara meniarap di atas sofa berdepan dengan pintu rumah.
“Memang istighfar panjang saya, terus letak makanan, ucap terima kasih. Masa nak keluar, pelanggan itu ada panggil saya beberapa kali katanya tunggu sekejap, namun saya hanya membalas perlu beredar segera kerana ada pesanan lain,” kongsinya.
Bapa kepada seorang anak, Shah, 32, pula berkongsi pengalaman hitamnya apabila kemaluannya disentuh dengan sengaja oleh seorang pelanggan lelaki ketika hendak memulangkan wang baki.
Kata Shah, pada awalnya dia bercadang untuk menunggu pelanggan terbabit di kawasan parkir motosikal, tetapi setelah sampai individu tersebut memintanya supaya naik ke tingkat lima kerana dia sedang menunggu di depan pintu rumah.
“Masa sampai, lelaki tersebut hanya berseluar pendek tunggu saya depan pintu rumah. Harga makanan RM23, dan dia memberikan saya not RM50. Masa cari duit baki dalam beg, dengan pantas tangan lelaki itu sentuh kemaluan saya.
“Terus saya ‘hoi’ kan dia, saya cuba untuk tidak buat kacau, kasihan takut ganggu jiran-jiran lain memandangkan waktu itu sudah pukul 10 malam.
“Saya sempat tanya, apa tujuan tindakannya, dia balas ‘saja nak merasa’, saya ugut untuk bawa perkara ini kepada pihak polis, dia ugut saya semula akan buat aduan kepada pihak pengendali agar saya boleh kena banned,” katanya.

Bagaimanapun, Shah tetap membuat laporan polis demi keselamatan selepas mendapat nasihat daripada pengurusan persatuan p-hailing.
Berbeza pula pengalaman yang dilalui rider, Arip, 25, apabila dia diganggu dengan mesej serta gambar lucah daripada pelanggan.
Katanya, kejadian berlaku pada hari minggu ketika dia bekerja sehingga lewat pagi disebabkan masih mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.
“Ketika itu sekitar pukul 1.30 pagi, rasanya order terakhir saya untuk hari tersebut. Masa itu hujung minggu. Selepas hantar pesanan kepada pelanggan, 30 minit kemudian nombor pelanggan sama WhatsApp saya hantar gambar dia hanya pakai baju tidur, seksi.
“Saya tak layan, kemudian dia hantar mesej kata mahu berkenalan dengan saya dan nak cari teman lepak malam-malam. Dia siap tawar rumahnya kalau saya nak rehat, mandi dulu jika saya penat.
“Saya sekat nombor telefon tersebut. Malas nak layan, dan anggap sebagai ujian saya sebagai penghantar makanan,” ujarnya.

Arip memberitahu, beberapa hari kemudian, wanita yang sama tetapi dengan nombor WhatsApp berbeza menghubunginya semula dan tetap mahu berkenalan serta menjemputnya ke rumah pada malam tersebut untuk menjadi teman berbual.
Katanya, wanita itu turut bersedia membayar sejumlah wang kepadanya jika bersetuju meluangkan masa bersama.
“Kadangkala takut nak hadap semua ini, tetapi dengan kerja macam ini la mudah untuk dilakukan secara sambilan. Saya yang masih belajar sangat memerlukan wang tambahan untuk tampung kos pembelajaran serta duit belanja harian.
“Tak akan setiap bulan nak susahkan keluarga. Ayah pun masih ada adik-adik saya yang bersekolah. Jadi saya sebagai anak sulung kena ikhtiar sendiri cari duit poket untuk hidup,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














