PETALING JAYA – Mana-mana individu yang terlibat kemalangan berikutan kecuaian pihak tertentu dalam menyelenggara dan membaiki kerosakan jalan raya boleh mengemukakan tuntutan ganti rugi serta memfailkan saman di mahkamah.
Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada berkata, tuntutan itu boleh dibuat kepada pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) ekoran kecuaian tersebut sehingga mendatangkan kecederaan kepada pengguna.
Menurutnya, pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan akibat jalan rosak atau berlubang mempunyai asas kukuh untuk membuat tuntutan ganti rugi terhadap pihak yang menyelenggara laluan berkenaan.
“Jika jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik itu di bawah pentadbiran JKR, mangsa yang terlibat kemalangan boleh membuat tuntutan ganti rugi dan keputusan sama ada perlu membayar ganti rugi akan ditentukan oleh jabatan tersebut.
“Tuntutan ganti rugi itu meliputi pelbagai kos seperti perubatan, pembayaran wad dan pembaikan kenderaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan JKR Kuala Langat meminta maaf kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang cedera pada kening dan hidung akibat terjatuh basikal selepas terlanggar lubang.
Kejadian berlaku Ahad lalu ketika Khairy Jamaluddin sedang berbasikal berhampiran Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, sekiranya JKR tidak mahu melayan tuntutan ganti rugi tersebut, mereka boleh membawa kes itu ke mahkamah sivil dengan memfailkan tuntutan saman.
“Pada peringkat ini, ia akan melibatkan perbicaraan antara kedua-dua pihak dan sebarang keputusan akan ditentukan oleh pihak mahkamah,” jelasnya.
Mengulas mengenai saman terhadap JKR, Ahmad berkata, difahamkan setakat ini ada tuntutan yang difailkan orang awam terhadap agensi itu di mahkamah berkaitan kemalangan di jalan Persekutuan dan negeri.
“Dalam kes berkaitan, bagi pengendali lebuh raya, ada kes tuntutan saman dikenakan terhadap mereka akibat kemalangan.
“Saman itu memandangkan ada perjanjian yang memerlukan mereka bertanggungjawab atas apa jua yang terjadi berikutan pengguna membayar tol,” katanya.
Sementara itu, peguam bela dan peguam cara, Muhammad Amin Abdullah berkata, tuntutan saman ganti rugi difailkan seseorang individu di mahkamah mempunyai keberangkalian untuk menang.
“Pun begitu, ia perlu mempunyai fakta kes yang kukuh seperti bukti kecederaan serius atau melibatkan kematian yang didakwa berpunca daripada kecuaian pihak terlibat termasuklah JKR atau syarikat konsesi lebuh raya.
“Jadi, saya nasihatkan individu yang mahu membuat tuntutan atau failkan saman agar merujuk dengan pihak peguam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.














