ALUNAN sebuah lagu lama dendangan Allahyarham Sudirman Arshad bertajuk Merisik Khabar yang diputarkan di corong radio pada petang itu membuatkan Siti Bainun Mohd. Sapian, 52, terimbau memori zaman remajanya.
Ujar Siti Bainun yang merupakan seorang penjawat awam, sehingga kini, lagu-lagu lama masih menjadi halwa telinganya ketika memandu pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Saya membesar dengan mendengar alunan lagu-lagu Sudirman dan celoteh penyampai radio.
“Kini, biarpun wujud begitu banyak stesen radio swasta dengan penggunaan bahasa lebih moden, namun saya masih mendengar stesen radio RTM (Radio Televisyen Malaysia).
“Ini kerana, ia lebih dekat di hati saya, sama ada menerusi putaran lagu atau program-program pengisian,” kongsinya kepada K2 baru-baru ini.
Barangkali, ramai tidak tahu bahawa suatu ketika dahulu, celoteh juruhebah radio atau dikenali sebagai DJ sememangnya ditunggu-tunggu oleh pendengar setia sesebuah stesen radio.
Jika radio kini lebih sinonim dengan putaran lagu-lagu kegemaran atau permintaan pendengar, peranan radio kepada masyarakat suatu ketika dahulu jauh lebih besar.
Malah, radio cukup penting, khususnya dalam memartabatkan jiwa merdeka masyarakat.
Radio berperanan sebagai medium perkongsian maklumat menerusi putaran lagu yang menyuntik semangat kemerdekaan serta celoteh juruhebah mengendalikan program bertemakan patriotik.
Dengan misi berkongsi peranan radio dalam memartabatkan jiwa merdeka, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Persatuan Veteran RTM telah menganjurkan forum merdeka, ‘Peranan Penyampai Radio Dalam Memartabatkan Jiwa Merdeka’ di Dewan Semarak, UM baru-baru ini.
Forum tersebut menampilkan tokoh-tokoh penyampai radio RTM iaitu Datuk Chuari Selamat, Datuk Habsah Hassan dan Noramin Moshi Moshi sambil dikendalikan oleh mantan penerbit serta DJ Radio Malaysia kawasan tengah, Lutfi Ismail.
Ujar Chuari yang popular pada era 80-an, banyak rancangan yang diterbitkan di radio pada ketika itu bertujuan membina jiwa masyarakat dengan menghayati erti kemerdekaan.
Malah, dia yang popular sebagai juruhebah yang gemar berpantun turut menggunakan medium tersebut bagi menghayati erti kemerdekaan.
“Saya rasa juruhebah radio sememangnya memainkan peranan penting dalam mengisi erti kemerdekaan.
“Pada masa itu, banyak rancangan-rancangan yang diterbitkan mampu membina jiwa masyarakat.
“Walaupun hanya dengan ungkapan kata-kata, namun juruhebah memainkan peranan penting dalam memujuk dan menggalakkan masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti berkaitan pengisian kemerdekaan,” katanya.

Bagi Habsah pula, peranan yang dimainkan juruhebah dalam memupuk semangat kemerdekaan pada zaman dahulu cukup besar.
“Apa yang saya boleh katakan, peranan juruhebah dahulu jauh berbeza dengan juruhebah sekarang.
“Jika dahulu, juruhebah perlu menyediakan skrip terlebih dahulu dan tidak boleh semberono apabila bercakap.
“Skrip itu pula perlu disemak sebelum juruhebah boleh ke udara,” katanya.
Habsah juga mengakui bahawa lagu yang dimainkan juga harus ada hubung kait dengan skrip disediakan, ia bukan hiburan semata-mata.
“Peranan radio ini begitu besar, lebih daripada sekadar menghibur.
“Ketika itu, radio menjadi tempat mendapatkan berita-berita kemerdekaan dan hal semasa seperti ancaman komunis.
“Ketika itulah, peranan juruhebah ini begitu besar dalam mententeramkan situasi ‘keras’ menerusi skrip dan penggunaan bahasa sesuai saat ke udara.
“Malah, kami memutar sendiri lagu dipilih dengan memastikan lirik lagu tidak mengandungi apa-apa unsur yang boleh mengganggu sensitiviti individu tertentu,” katanya.
Habsah yang juga merupakan penulis lirik terkenal memberitahu, ketika menulis skrip radio, dia sentiasa menyelitkan mesej atau propaganda kepada pendengar.
Katanya, ia penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara makmur seperti kini.
Selaku bekas kakitangan RTM, Habsah memberitahu, peranan yang boleh dimainkan oleh juruhebah sama ada radio RTM atau swasta dalam menyemarakkan semangat merdeka sangat besar.
Demi kesejahteraan, juruhebah harus memainkan peranan mereka untuk menyebarkan persefahaman, persahabatan, nilai-nilai murni dan identiti bangsa Malaysia.
Mengakui agak kecewa dengan penggunaan bahasa dan kandungan radio masa kini, Habsah berkata, dia faham perubahan itu penting demi menarik pendengar agar terus memilih radio sebagai medium mendapatkan maklumat.
“Saya dapati bahasa dan kandungan radio kini berbeza bagai langit dan Bumi berbanding zaman dahulu.
“Radio ini sama ada secara langsung atau tidak langsung mempunyai peranan dalam membina bangsa dan mewujudkan kestabilan negara.
“Namun, mungkin generasi sekarang tidak sedar tentang peranan radio kerana dilahirkan ketika situasi sudah pulih,” katanya.
Dalam konteks juruhebah dan stesen radio swasta ketika ini, Habsah melihat perlunya ada satu badan untuk memantau penggunaan bahasa dan penyediaan kandungan dalam radio.
“Kita sering bercakap bahawa bahasa adalah jiwa bangsa.
“Soalan saya, jika kita dengan bahasa ketika ini, bangsa bagaimana yang mahu kita lahirkan?” katanya.














