KUALA NERANG – Lebih 200 orang termasuk waris dijangka menghadiri majlis tahlil dan kenduri arwah yang akan diadakan berhampiran tapak kubur berusia 100 tahun di Kampung Mong Gajah, Pedu pada 17 Ogos ini.
Ia diadakan susulan kawasan perkuburan di tapak perkampungan lama yang masih berbatu nisan itu timbul selepas Tasik Pedu yang menempatkan Empangan Pedu kering ekoran cuaca panas berpanjangan.
Mengikut rekod Sistem Pengurusan Air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Empangan Pedu semalam mencatatkan takungan air 305,000 ekar kaki atau 34.86 peratus, yang mana menurun berbanding 37 peratus pada 5 Ogos lalu.
Takungan empangan itu akan dikategorikan kritikal apabila mencapai tahap 236,400 ekar kaki atau bawah paras 15 peratus.
Wakil penduduk, Mohamad Shaari, 51, berkata, semua waris, penduduk dan orang luar dijangka memenuhi kawasan perkampungan lama itu pagi Sabtu ini.
“Penduduk terutama waris akan mula berkumpul di Kampung Mong Gajah pada Jumaat dan bermalam di situ. Kawasan itu akan dipasang khemah serta lampu menggunakan generator.
“Keesokannya, pihak masjid Tong Pelu, Pedu akan mengadakan tahlil untuk arwah yang dikebumikan di tanah perkuburan di dasar tasik ini, selain kenduri arwah dengan juadah kampung dimasak sendiri di lokasi berkenaan,” katanya semalam.
Jelasnya, majlis seperti itu pernah dianjurkan penduduk empat tahun lalu ketika air tasik kering disebabkan musim kemarau berpanjangan.
Menurut Mohamad, kawasan kubur itu timbul sepenuhnya dan ramai yang mengambil kesempatan menziarahinya sejak awal bulan ini.
“Boleh dikatakan ramai yang datang tengok kawasan kampung lama yang muncul semula selepas air tasik kering dan pada masa sama ziarah kawasan kubur di situ, malah ada yang keluarga yang datang dan buat tahlil,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan tasik dilihat masih kering meskipun terdapat hujan beberapa hari kebelakangan ini.
“Saya difahamkan air dari empangan ini terus dilepaskan untuk tujuan domestik dan pengairan kawasan pertanian terutama sawah padi di negeri ini,” katanya.
Seorang penduduk, Siti Rohani Ismail, 66, pula berkata, kawasan itu menjadi tumpuan setiap kali tasik kering yang kebiasaannya berlaku dalam empat tahun sekali.
“Nenek moyang saya pun dikebumikan di tanah perkuburan lama itu dan ramai waris keluarga yang datang ziarah. Sabtu ini pun kami akan datang untuk mengadakan tahlil,” katanya.














