KOTA BHARU – Beberapa pemilik lori persendirian yang selama ini mencari rezeki dengan mengambil upah mengangkat barangan mengalami pengurangan permintaan daripada pelanggan selepas mereka terpaksa menaikkan caj perkhidmatan.
Pemilik lori terbabit yang tidak layak memohon ‘fleet card’ terpaksa berbuat demikian selepas penyasaran semula subsidi diesel sejak 10 Jun lalu yang menyebabkan mereka terpaksa membeli diesel pada harga pasaran.
Keadaan itu juga menyebabkan kebanyakan lori persendirian yang tidak terikat dengan industri pengangkutan, tersadai begitu sahaja di depan rumah.
Seorang pemilik lori, Azman Kamarudin, 47, berkata, dia kurang mendapat permintaan pelanggan sejak sebulan lalu kerana menaikkan caj perkhidmatan mengangkat barangan atau buah-buahan peniaga bagi lori satu tan miliknya.
Sebelum ini, katanya, dia meletakkan harga sebanyak RM250 untuk satu trip perjalanan mengangkat barangan di sekitar Kota Bharu, namun kini terpaksa menaikkan perkhidmatan itu kepada RM350 apabila harga semasa diesel RM3.35 seliter.
“Harga yang ditetapkan itu termasuk upah mengangkat barangan. Saya bekerja sendiri dan cari makan cara orang kampung.
“Mana ada surat rasmi yang boleh digunakan untuk memohon ‘fleet card’. Banyak pelanggan menolak untuk mengambil lori saya selepas harga perkhidmatan dinaikkan.
“Sebab itu sekarang lori saya hanya mendapat tawaran membawa barang sekali seminggu berbanding tiga hari sekali sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, pemandu lori persendirian, Ibrahim Ismail, 58, berkata, dia terpaksa menyimpan lori berikutan tiada permintaan daripada pelanggan setakat ini.
Dia yang mempunyai lori mengangkut tanah dan pasir sejak 10 tahun lalu berkata, lorinya tersadai dan tidak boleh keluar kerana tidak mampu menampung harga diesel.
“Apabila harga diesel meningkat, saya terpaksa juga menaikkan harga pasir dan tanah yang dijual.
“Harga satu lori pasir dianggarkan kira-kira RM180. Apabila penyasaran dilaksanakan, saya menaikkan harga jualan kepada RM240 iaitu peningkatan sebanyak RM60,” ujarnya.
Ibrahim memberitahu, ketika harga diesel dengan subsidi iaitu RM2.15 seliter, dia boleh mengisi lorinya itu sebanyak RM100 untuk tiga trip perjalanan mengangkut pasir.
Bagaimanapun, kini dia hanya mampu membuat satu trip perjalanan dengan jumlah isian diesel yang sama ketika ini.
“Saya perlu mengumpul pesanan membeli tanah daripada pelanggan sebelum memulakan tugasan.
“Jika hanya satu tempahan, tidak memadai untuk penghantaran tanah dan saya terpaksa membatalkan perjalanan pada hari itu,” katanya.
Seorang pemandu treler yang hanya mahu dikenali Hafizi, 40, pula berkata, dia terpaksa mengurangkan penghantaran bahan binaan ke luar Kelantan kerana tidak mampu menanggung kos harga diesel.
Katanya, dia sebelum ini mengisi diesel pada kos sebanyak RM800 untuk perjalanan ulang-alik dari Kelantan ke Perak dua hari sekali bagi menghantar bahan binaan.
“Kini, kos diesel meningkat kepada RM1,200. Jika tidak keluar, saya tiada pendapatan untuk membayar ansuran bulanan treler sebanyak RM10,000 sebulan,” ujarnya.
Pada 28 Jun lalu, Kosmo! melaporkan, subsidi diesel yang dilaksanakan menyebabkan ada pengguna memilih untuk menjual kenderaan berenjin diesel milik mereka dan mencari kereta terpakai yang jauh lebih jimat dari segi penggunaan minyak seperti Perodua Axia.
Menerusi tinjauan di beberapa premis kereta terpakai di sekitar ibu kota, rata-rata pemilik kedai mengakui ramai pengguna kenderaan berenjin diesel datang untuk menjual semula kereta berenjin diesel masing-
masing.
Penyasaran subsidi diesel antara lain bertujuan membanteras penyeludupan diesel rentas sempadan yang sebelum ini semakin menjadi-jadi.














