BIARPUN kematian itu pasti, namun tidak ada insan di dalam dunia ini yang bersedia untuk menghadapi detik pemergian orang tersayang.
Bukan tidak reda dengan ketentuan Ilahi, namun sudah menjadi fitrah manusia untuk bergelut dengan emosi yang perlu diproses secara berperingkat.
Itu merupakan ujian yang dihadapi Samantha Azlan semenjak kehilangan suami tercinta akibat masalah jantung pada 17 Disember 2022.
Sambil berkongsi cerita, ibu kepada dua orang anak itu membelek buku kecil yang memaparkan perjalanan pemulihan emosi menerusi jurnal peribadinya.
“Saya bukanlah seorang yang pandai mengekspresi diri melalui kata-kata atau penulisan, saya lebih selesa luah perasan menerusi coretan abstrak mengikut emosi semasa saya. Jika diamati buku jurnal saya ini, anda akan dapat lihat betapa hitam dan putih dunia dalaman saya sebelum ini.
“Namun, kebelakangan ini, saya dapati saya semakin selesa menggunakan warna di dalam coretan saya,” katanya kepada Panorama.
Samantha merupakan salah seorang peserta sesi terapi jurnal yang dianjurkan secara percuma oleh pengasas Evoke, Cawerlyn Choong di Kings Hall Cafe, Kuala Lumpur.
Selain mengeluarkan jurnal, Evoke turut menjadi kumpulan sokongan terapi journaling (aktiviti jurnal) kepada komuniti. Kelas terapi dalam kumpulan kecil berkenaan diadakan bagi membantu insan-insan yang memerlukan bimbingan untuk memproses emosi mereka.
Sesi memproses emosi terpendam tersebut bukanlah untuk mengatasi peranan bidang perubatan, tetapi dilakukan sebagai satu alternatif dalam cabang kesihatan mental.
Pada sesi Sabtu lalu, wanita berusia 55 tahun tersebut mengangkat tema ‘inner child’ bagi membantu peserta memahami dunia ‘dalaman’ mereka.
Sebelum sesi dimulakan, para peserta diminta untuk mengetepikan semua perkara-perkara di luar bilik kaca tersebut dan beri tumpuan pada keadaan semasa di hadapan mereka.
Untuk meningkatkan tahap kepekaan para peserta, mereka perlu menyenarai tiga perkara yang boleh dilihat, disentuh, dibau, didengar serta dirasai.
Peserta juga digalakkan untuk melakukan latihan bhramari pranayama (humming bee breath) yang sering diamalkan dalam senaman yoga. Senaman pernafasan tersebut merupakan cara yang efektif untuk mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan mental.
Kemudian, peserta diberikan sekeping kertas serta alat tulis pelbagai warna untuk dijadikan bahan untuk menghasilkan jurnal mereka.

Menurut Cawerlyn, tekanan sosial demi kelangsungan hidup menyebabkan ramai mula pendam suara hati mereka yang sebenar.
“Inner child mewakili keperluan emosi asas kita yang terbentuk sejak zaman kanak-kanak dan akan sentiasa mempengaruhi pola tingkah laku kita.
“Aktiviti seperti melakukan jurnal membantu individu berhubung semula dengan suara hati sebenar mereka sekali gus mengubat ‘luka’ yang ada,” ujarnya.
Bagi betul-betul menyelami isi hati tanpa dipengaruhi unsur-unsur luaran, peserta diminta untuk tidak menggunakan tangan dominan mereka ketika melukis.
Ini bermaksud, sekiranya tangan dominan peserta adalah sebelah kanan, mereka perlu menggunakan tangan kiri dan begitu juga sebaliknya.
Amalan tersebut dilakukan agar karya terhasil tidak dipengaruhi oleh bahagian otak yang sudah diprogramkan dengan pemikiran autopilot.
Usai menghasilkan lukisan masing-masing, peserta diminta untuk menulis soalan yang mahu diajukan kepada diri sendiri.
Soalan-soalan tersebut hendaklah ditulis menggunakan tangan dominan.
Kemudian, peserta perlu menjawab semua soalan tersebut dengan menggunakan tangan bukan dominan. Amalan tersebut dikatakan akan mengaktifkan kedua-dua bahagian hemisfera otak. Secara tidak langsung, proses menghasilkan jurnal itu akan memberikan hasil terapeutik yang lebih berkesan.
Tambah Cawerlyn, dia tidak akan memberi interpretasi terhadap jurnal peserta, tetapi dia beri ruang kepada peserta meluahkan isi hati mereka.
“Saya tidak gunakan sebarang teori untuk menilai hasil karya mereka. Mereka bebas luahkan isi hati. Tugas saya di sini adalah membimbing mereka dengan memberikan soalan-soalan yang boleh membuatkan mereka renung semula ketika melakukan jurnal,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Angel J. William berkongsi budaya masyarakat Cina yang mementingkan kesempurnaan menjadikannya sukar berkongsi perasaan.
“Dalam budaya Cina, terdapat stigma terhadap topik kesihatan mental. Kebiasaannya, kami diminta untuk terus menganggap hidup itu sempurna.
“Oleh itu, banyak trauma generasi yang terpendam dan diwarisi kerana tiada ruang untuk meluahkan perkara yang terbuku dalam hati,” jelasnya.
Namun, sejak menyertai sesi terapi dan mengamalkan jurnal yang diusahakan oleh Cawerlyn, Angel akui dirinya lebih terbuka.
Tambahnya, perjalanan untuk menemui suara hatinya masih lagi jauh, namun ia sudah semakin baik.
“Dalam diri saya, ada suara yang berkata saya memerlukan masa untuk proses semua emosi yang sudah lama terpendam. Jadi, saya akan bersabar dengan diri saya sendiri dan terus gunakan jurnal sebagai ruang meluahkan isi hati saya,” ujarnya.














