SETIAP negara mempunyai bendera masing-masing yang boleh dianggap sebagai identiti dan lambang kemegahan.
Rekaan bendera biasanya menceritakan pelbagai perkara dan mempunyai ciri-ciri sejarah, perjuangan serta nilai setiap negara tersebut.
Ia dapat diterangkan menerusi penggunaan warna, simbol, logo dan corak yang diletakkan pada bendera negara masing-masing.
Tahukah anda, ada beberapa corak rekaan bendera di dunia yang unik dan agak berbeza dengan negara lain.
Minggu ini, Panorama menyenaraikan lima rekaan bendera yang mempunyai keunikan tersendiri seperti dipetik dalam laman web, flagman.com.
1. Nepal
Nepal merupakan satu-satunya bendera rasmi negara yang tidak menggunakan bentuk segi empat. Negara itu menggunakan gabungan dua bentuk yang digelarkan ‘pennon’.
Menggunakan tiga rona dengan warna merah melambangkan bunga rhododendron iaitu bunga rasmi Nepal, biru sebagai lambang keamanan dengan dihiasi logo matahari dan bulan.
Pada awalnya, dua logo matahari dan bulan itu mempunyai wajah manusia, namun diubah pada tahun 1962.
Untuk melukis bendera Nepal memang agak sukar kerana ketepatannya memerlukan nisbah pembahagian kedua-dua ‘pennon’.
Maka tidak hairanlah, sudah banyak kali berlaku kesilapan oleh pihak penganjur seperti Sukan Olimpik dalam menghasilkan semula bendera Nepal.
2. Vatican City
BENDERA Vatican City adalah gabungan dua jalur menegak berwarna emas dan putih dengan lambang tahta suci di tengah.
Ia memaparkan dua bentuk kunci yang menggambarkan keys of heaven atau mahkota dikenali sebagai ‘papal’ yang dipakai oleh paderi gereja katolik.
Dipercayai setiap paderi akan memakai papal pada leher mereka sebelum memasuki kawasan gereja sebagai lambang kesucian agama.
3. Kiribati
Bendera Kiribati iaitu sebuah negara pulau kecil di Lautan Pasifik antara yang unik dalam reka bentuk dan simboliknya.
Bendera itu memaparkan matahari terbit di atas lautan biru dengan burung frigat (simbang) kuning terbang di atas.
Matahari terbit mewakili lokasi negara di bahagian paling timur dunia, manakala jalur biru dan putih mewakili lautan serta langit.
Burung simbang yang terkenal dengan kebolehannya terbang dalam tempoh lama mewakili aspirasi negara untuk rakyatnya melonjak ke tahap tertinggi.
Bendera itu direka oleh Sir Arthur Grimble, seorang pentadbir kolonial British yang berkhidmat di Kepulauan Gilbert dan Ellice sebelum ditukar namanya menjadi Kiribati.
4. Mozambique
Bendera Mozambique merupakan salah satu yang paling unik di dunia kerana meletakkan senjata api pada rekaannya.
Diguna pakai secara rasmi bermula 1 Mei 1983, bendera tersebut menampilkan tiga warna mendatar iaitu hijau, hitam dan kuning dengan segi tiga sama berwarna merah di bahagian sebelah kiri.
Senjata api yang digunakan bukan calang-calang kerana ia adalah replika senapang jenis AK-47 dengan bayonet atau pisau kontot yang biasanya dipasangkan pada hujung senapang.
Senapang AK-47, cangkul dan buku mewakili tiga tonggak perjuangan revolusi Mozambique iaitu pertahanan, pertanian dan pendidikan.
5. Bhutan
Bendera Bhutan menampilkan seekor naga yang melambangkan nama negara yang bermaksud Tanah Naga Petir.
Naga juga merupakan simbol kemakmuran dan nasib baik. Naga yang dikenali sebagai Druk dalam mitologi Bhutan dipercayai sebagai pelindung negara.
Halilintar naga mewakili keharmonian antara pemerintahan sekular dan agama di Bhutan.
Latar belakang bendera kuning melambangkan kewibawaan raja, manakala rona oren melambangkan Buddha yang merupakan agama dominan di negara itu.
Naga putih yang memegang permata di kukunya mewakili kemakmuran, manakala permata itu sendiri mewakili kekayaan negara.
Bendera Bhutan ialah contoh sempurna bendera yang menceritakan kisah dan reka bentuk serta simbolik yang unik menjadikannya salah satu bendera paling unik di dunia.














