KUALA NERANG – Kawasan perkuburan berusia lebih 100 tahun yang timbul selepas Tasik Pedu kering ketika kemarau memberi peluang buat ahli keluarga menziarahi makam yang ditenggelamkan sekitar tahun 1970-an itu.
Mohd. Sahbari Abdul Rahman, 56, berkata, batu nisan kubur di Kampung Mong Gajah itu semakin jelas semalam berbanding Isnin lalu yang hanya menampakkan bahagian pagar.
“Kami kini tinggal di Kampung Pinang dan Barokhas berdekatan Mong Gajah yang telah lenyap. Saya hanya dengar cerita daripada orang-orang tua bahawa kampung itu telah ditenggelamkan untuk dijadikan Empangan Pedu.
“Di dasar tasik ada tiga kampung iaitu Mong Gajah yang terbahagi kepada dua pada kedudukan matahari naik dan terbenam serta Kampung Kuala. Ada tiga kawasan perkuburan tetapi satu sahaja yang boleh diziarahi ketika tasik kering,” katanya.
Siti Rohani Ismail, 66, pula berkata, kali terakhir tasik surut pada 2020 dan waris akan mengadakan kenduri tahlil untuk arwah nenek moyang di situ.
“Kali ini masih belum boleh pergi rapat kerana ada bahagian yang masih digenangi air,” katanya.
Seorang lagi waris, Mohamad Shaari, 51, berkata, selain penduduk, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid turut menziarahi kawasan itu.
“Tasik Pedu semakin menjadi tumpuan apabila ramai yang teruja untuk melihat sendiri keadaan tasik yang kering.
“Setakat ini, belum hujan. Kami dimaklumkan air Empangan Pedu terus dilepaskan untuk keperluan domestik dan pertanian,” katanya.














