fbpx
Golongan 18 hingga 39 tahun merupakan umur dengan peratusan tertinggi tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi. Jika dahulu biasanya usia muda pesakit hipertensi ialah 35 tahun, kini seawal 20 tahun.- Gambar hiasan

Pesakit darah tinggi semakin muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM ini, Riduan Ahmad sering mengalami pening kepala. Kerana rasa kurang selesa, dia kemudian pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan sewaktu pemeriksaan dilakukan tekanan darahnya didapati tidak normal.

“Doktor kemudian mengesahkan saya berhadapan dengan masalah hipertensi atau tekanan darah tinggi.

“Untuk mengawal masalah hipertensi ini saya harus untuk mengambil ubat,” katanya yang kini berusia 38 tahun kepada K2.

Tambahnya, dia mengakui masalah obesiti dan tidak menjaga pemakanan mungkin menjadi faktor penyumbang kepada hipertensi yang dialaminya.

Hipertensi yang juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi ialah satu keadaan perubatan di mana tekanan tinggi yang berterusan di dalam salur darah arteri dan ia berpotensi membawa kepada pelbagai komplikasi kesihatan jika tidak dikawal.

Malah, berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan 29.2 peratus atau satu daripada tiga dewasa di Malaysia mengalami hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Sebanyak 17.3 peratus mengetahui bahawa mereka mengalami masalah itu dan 11.9 peratus tidak mengetahui mereka mengalami tekanan darah tinggi.

Golongan 18 hingga 39 tahun merupakan umur dengan peratusan tertinggi tidak mengetahui mereka menghidap hipertensi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahkan melaporkan bahawa hipertensi adalah masalah serius kerana menjejaskan lebih 1.28 bilion orang dewasa di seluruh dunia.

Oleh kerana itu, dalam usaha untuk mempromosikan pendidikan awam tentang hipertensi dan membantu ke arah kawalan hipertensi yang optimum di negara ini, Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) telah menganjurkan Kongres Saintifik Tahunan (ASC) ke-19 2024 baru-baru ini di Kuala Lumpur.

MSH menganjurkan Kongres Saintifik Tahunan (ASC) 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tema kongres tahun ini adalah ‘Meningkatkan Pengurusan Penyakit Kardiovaskular dan Metabolik Melalui Penglibatan Pelbagai Pihak’ yang menekankan bahawa hipertensi bukan sekadar angka.

Hipertensi sangat berkait rapat dengan gangguan kardiovaskular dan metabolik yang perlu diuruskan dengan baik.

Timbalan Presiden MSH, Prof. Dr. Nik Sherina Hanafi berkata, hipertensi adalah ‘pembunuh senyap’ di mana seseorang boleh mengalami masalah itu tanpa menyedarinya.

Menurutnya, hipertensi ialah masalah yang membimbangkan kerana ia merupakan faktor risiko utama untuk penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

“Apa yang lebih merisaukan jika seseorang itu mempunyai masalah empat serangkai iaitu hipertensi, obesiti, kencing manis dan kolesterol, risiko untuk mereka mendapat serangan jantung dan strok sangat tinggi.

“Malah, kini umur untuk mendapat masalah itu juga semakin rendah dan cuba bayangkan jika pesakit itu merupakan tulang belakang yang menyara keluarga secara tiba-tiba mendapat serangan jantung dan strok,” katanya.

Oleh yang demikian mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan masyarakat perlu cakna bagi mengelakkan perkara itu terjadi pada diri mereka.

Mengulas lanjut, Dr. Nik Sherina berkata, apa yang penting adalah kita perlu mengawal tekanan darah tinggi.

“Kita perlu faham tentang bacaan tekanan darah dan jika bacaannya adalah 140/90 itu bermakna kita ada hipertensi.

“Sebolehnya kita mahu bacaan kurang daripada itu dan jika bacaannya sekitar 120/80, ia bagus,” terangnya.

DR. NIK SHERINA

Malah, kini mereka yang masih muda juga tidak terkecuali berhadapan dengan hipertensi.

Hal ini berlaku kerana kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak itu sendiri yang semakin meningkat.

Dr. Nik Sherina menjelaskan, obesiti dalam kalangan kanak-kanak ini berbahaya dan jika tidak dijaga pada usia muda mereka boleh berhadapan dengan masalah ini.

“Ketika saya belajar dahulu, usia 35 tahun adalah usia muda untuk hipertensi tetapi kini ada yang berusia seawal 20 tahun telah berhadapan dengan masalah ini.

“Oleh itu, kini seawal usia 18 tahun sebaiknya kita melakukan pemeriksaan hipertensi dan dilakukan setahun sekali,” terangnya.

Tambahnya, antara sebab utama masalah hipertensi ini adalah kerana disebabkan masalah obesiti, genetik dan pemakanan yang tidak sihat dan kebanyakan masyarakat kita gemar mengambil makanan yang masin.

Dalam pada itu, pakar kardiologi dan Pengerusi Bersama CVS Saintifik, Dr. Thum Chan Ho berkata, mengawal hipertensi adalah penting kerana masalah ini memberi risiko kepada jantung.

“Kita mahu memperkasa pesakit supaya mereka mengenali dan menangani akan masalah empat serangkai yang memberi risiko kepada jantung.

“Pesakit perlu tahu bagaimana untuk menjaga pemakanan, senaman dan juga faham akan keperluan mengambil ubat.

“Tambahan pula sekarang viral bahawa pengambilan ubat tidak bagus sedangkan ubat diperlukan oleh pesakit,” jelasnya.

HIPERTENSI merupakan faktor risiko utama penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung.

Tambahnya, dalam banyak keadaan pesakit memerlukan ubat untuk mengawal hipertensi.

Selain itu, gaya hidup adalah satu faktor yang penting untuk mengawal masalah hipertensi.

Sebolehnya, luangkan masa untuk bersenam dan jaga pemakanan untuk mengurangkan berat badan.

“Kalau kita boleh kawal berat badan, tekanan darah boleh turun.

“Malah, pengambilan ubat hipertensi juga boleh dikurangkan apabila pesakit kurangkan berat badan dan tekanan darah akan turun dengan sendiri,” ujar Dr. Chan Ho.

Sementara itu, mengulas tentang peningkatan masalah hipertensi, Pengerusi ASC 2024, Datuk Seri Dr. Azhari Rosman berkata, antara salah satu sebabnya adalah kerana perubahan dalam masyarakat itu sendiri.

“Kini berat badan, cara pemakanan dan gaya hidup masyarakat berubah sehingga menyebabkan mereka berhadapan dengan faktor risiko hipertensi

“Selain itu, jumlah saringan juga meningkat dan sebab itu kita boleh kesan lebih ramai yang ada masalah ini,” terangnya.

Bahkan, angka yang menunjukkan satu daripada tiga berhadapan dengan hipertensi adalah sesuatu yang tinggi.

Dr. Azhari menjelaskan, hipertensi merupakan satu petanda yang boleh membawa pesakit ke satu jalan yang ‘berbahaya’.

“Bila seseorang itu berdepan hipertensi pada umur yang relatif muda ia boleh dikatakan menuju ke jalan yang bahaya untuk berhadapan dengan masalah lain jika tidak dikawal.

“Kini, satu daripada tiga populasi kita yang disaring mempunyai hipertensi dan jika tidak dikawal untuk 10 atau 15 tahun akan datang ia akan menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN