PETALING JAYA – Aplikasi X didapati menjadi platform utama bagi kelompok komuniti darkside atau DS untuk mempromosikan kandungan berunsur lucah diri sendiri bagi mendapatkan bayaran tertentu daripada lelaki miang dan berhidung belang.
Lebih mengejutkan golongan tersebut mempunyai kerjaya dalam pelbagai bidang termasuk profesional dan semakin menular dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Dakwaan itu berasas apabila salah seorang pemilik akaun bergelar Miza Ozawa dituduh menawarkan aktiviti persundalan di Telegram di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada 19 Jun lalu.
Selain itu, lelaki bergelar Hot Daddy dan dua wanita lain didakwa mempunyai bahan pornografi dan menjual bahan lucah di platform X.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Sirajuddin Jalil mendedahkan, perbualan dan jual beli bahan lucah seperti penulisan, video dan gambar kemudian berlanjutan di aplikasi kumpulan Telegram yang diwujudkan bagi mengumpulkan peminat pornografi.
Katanya, sambutan menggalakkan daripada komuniti itu membuatkan ada dalam kalangan pempengaruh DS berkolaborasi untuk membuat kandungan tidak bermoral.
“Bertambah parah apabila ada dalam kalangan mereka menjadi pelacur dan membuka pelbagai slot yang menggunakan terma lucah, hubungan seks, bersekedudukan dan sebagainya.
“Bayaran berbeza-beza dikenakan mengikut perkhidmatan. Ada yang meminta bayaran bagi hubungan seksual sekiranya kedua-dua individu tersebut suka sama suka,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Sirajuddin, sebagai contoh, bagi ‘pelakon’ cantik dan berkeyakinan, harganya jauh berbeza dengan mereka yang kurang menyerlah apabila mereka hanya mengenakan cuma RM30 untuk menunjukkan alat sulit.
Tambahnya, komuniti DS terdiri daripada ribuan individu dan mempunyai kerjaya yang pelbagai. Mereka berkongsi mengenai cerita seks dan lucah hingga menimbulkan ghairah secara terang-terangan tanpa rasa malu dan segan silu.
“Sekiranya tidak dibendung, komuniti ini pasti akan berkembang dan lebih ramai lagi remaja, kanak-kanak dan pelajar sekolah akan terjebak ke akaun DS,” katanya.
Ujar Sirajuddin, keputusan kerajaan untuk meletakkan garis panduan dan peraturan terhadap pengendali aplikasi X amat bertepatan bagi menangani komuniti DS.
“Walaupun kelihatan cuba menyekat kebebasan suara tetapi kebimbangan kita terhadap komuniti tersebut dan kerisauan ibu bapa kepada anak-anak perlu diutamakan,” katanya.
Sementara itu, Kosmo! Ahad menemui empat akaun X milik wanita murahan yang tanpa segan silu menunjukkan bahagian sulit mereka dan berbicara mengenai seks serta lucah.
Apa yang mengejutkan mereka menjual imej tubuh serendah RM12 tanpa segan silu.

Kebanyakan pemilik akaun tersebut tidak mempamerkan wajah pada setiap gambar dimuat naik, sebaliknya akan ditutup muka selain berpakaian mencolok mata.
Pemilik salah satu akaun X di George Town, Pulau Pinang mengenakan bayaran RM100 hanya untuk membalas mesej daripada pengguna lain. Dia mempunyai 149,000 pengikut.
Bagaimanapun, akaunnya boleh dilihat secara umum dipercayai untuk memancing pelanggan melalui hantaran lucah dan tubuhnya yang seksi.
Satu lagi pemilik akaun X menjual barangan sulit di Selangor yang mempunyai 15,800 pengikut didapati sengaja mengajak kepada aktiviti persundalan pada gambar dan mesej yang dimuat naik.
Salah satu akaun X yang ditemui pula mendapati, wanita tersebut mempunyai kira-kira 104,000 pengikut dan dia mendaftar pada platform itu sejak Februari 2022.
Dia mengenakan bayaran sebanyak RM77 bagi membalas mesej yang diterima, bahkan turut memuat naik gambar kod QR bank akaunnya.
Gambar yang dimuat naik juga tidak memaparkan wajahnya dengan kesemuanya berpakaian seksi menampakkan anggota sulit. -KOSMO! ONLINE














