KLUANG – Keadaan lengang dan sunyi walaupun malam masih muda menyebabkan bandar Kluang seolah-olah menjadi bandar ‘mati’.
Tinjauan mendapati, beberapa premis seperti kedai runcit, pasar raya, kedai pakaian dan aksesori telefon telah ditutup sepenuhnya sebelum pukul 10 malam.
Sebahagian kedai makanan juga ditutup.
Seorang peniaga, Rahmat Ismail, 55, berkata, walaupun Kluang berstatus bandar, namun tiada ciri-ciri gah yang dapat dilihat kerana penutupan operasi jualan yang terlalu awal.
Katanya, tidak seperti bandar raya Johor Bahru, keadaannya masih sesak walaupun sehingga pukul 12 tengah malam dan ia membolehkan pengusaha kedai makanan ‘hidup’ apabila dikunjungi orang ramai pada waktu malam.
“Melihat kepada situasi ini, kami mencadangkan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) membenarkan operasi jualan kedai dan pasar raya di Kluang dilanjutkan sehingga pukul 12 malam pada setiap hujung minggu sama ada Jumaat atau Sabtu serta cuti umum.
“Saya yakin, dengan penambahan masa kira-kira tiga jam itu akan merancakkan pembangunan ekonomi penduduk di bandar ini khususnya pengusaha makanan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang lagi peniaga, Rahimah Mohamad, 40, juga bersetuju dengan cadangan itu bagi tujuan menghidupkan bandar ini yang tiada sebarang aktiviti keramaian sejak tahun-tahun terakhir ini.
Ujarnya, banyak aktiviti jualan pasar karat juga sudah tiada lagi di bandar ini dan ia menyebabkan orang ramai tidak keluar rumah kerana tiada apa-apa yang istimewa untuk dikunjungi.
“Diharapkan pandangan ini boleh diterima dan jangan disalah erti oleh pihak-pihak berkaitan kerana ia sekadar ingin bandar Kluang hidup seperti sebelum ini,” ujarnya.














