fbpx
KEADAAN kereta Proton Wira dinaiki pasangan suami isteri yang maut dilanggar trak pikap di Kilometer 350, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, Raub kelmarin.

Tak sangka abang betul-betul pindah ‘rumah baru’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – “Sejak kebelakangan ini arwah abang selalu cakap hendak pindah rumah baharu, namun tak sangka apa yang dia cakap itu menjadi kenyataan sebab abang betul-betul berpindah ke ‘rumah baharunya’.

Demikian kata Nurul Zaharatul Laina Kamarozaman, 19, adik kepada Allahyarham Mohd. Anassar, 34, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 350, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 10.20 malam itu turut meragut nyawa isteri Mohd. Anassar, Zalina Ali, 40, manakala dua anak mereka, Nurul Aqilah Zakari, 21, dan Nurul Damia, 15, parah di kaki dan muka.

Nurul Zaharatul berkata, abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meluahkan hasrat untuk mencari rumah baharu kerana rumah sewa ­didiami mereka di Taman ­Kenanga di sini agak uzur.

“Saya dapat tahu mengenai kemalangan ini dari ‘group Whats­App’ sebelum bergegas ke Hospital Raub, namun sebaik tiba, saya dimaklumkan abang dan kakak ipar telah ‘tiada’.

“Anak saudara, Nurul Aqilah, parah di muka sementara Nurul Damia patah kedua-dua kaki. Mereka kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis dan telah dimaklumkan tentang pemergian ayah dan ibu mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raub di sini semalam.

Gambar kenangan, Muhammad Hilman dan dua adiknya bersama bapa, Mohd. Anassar (belakang, kanan) dan ibunya, Zalina.

Sementara itu, anak sulung pasangan berkenaan, Muhammad Hilman Hafifi, 21, berkata, sebelum kejadian mereka seke­luarga sempat menyambut hari lahir neneknya, Zainab Abdulrahman di Taman Raub Jaya.

“Pada malam kejadian kami saya perasan mak dan ayah tidak banyak bercakap sedangkan sebelum ini mereka sangat mesra dan ramah.

“Saya juga sempat mencium dahi mak dan ayah sebelum mereka semua menaiki kereta dan bergerak balik ke rumah di Taman Kenanga. Saya tidak ­sangka itulah ciuman terakhir saya untuk mereka,” ujarnya.

Muhammad Hilman memberitahu, biarpun Mohd. Anassar berstatus bapa tiri kepada ­mereka tiga beradik, namun kasih sa­yang yang ditunjukkan tidak pernah berbelah bahagi.

“Mak dan ayah melangsungkan perkahwinan pada 2020. Sejak itu mereka bersama dua adik perempuan menetap di Taman Kenanga, manakala saya tinggal dengan nenek di Taman Raub Jaya. Saya reda dengan ujian ini,” ujarnya.

Jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pamah Rawas, dekat Ulu Dong di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki empat beranak itu dirempuh trak pikap di Kilometer 350, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini kelmarin.

Kejadian berlaku ketika ­mang­sa dalam perjalanan melalui susur keluar laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) menghala ke Dong di sini.

“Akibat rempuhan itu pemandu kereta dan isterinya me­ninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anaknya menga­lami kecederaan,” katanya.

Menurut Mohd. Shahril, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.

“Berdasarkan siasatan awal, mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu trak pikap yang dipercayai melanggar ­lampu isyarat merah se­hingga menyebabkan kemalangan ­berlaku,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN