ALOR SETAR – Segelintir datuk dan nenek di negara ini terpaksa mengulangi rutin ketika muda apabila kembali menjadi penjaga kepada cucu yang ditinggalkan ibu bapa akibat perceraian atau dipenjarakan kerana najis dadah.
Lebih menyedihkan apabila golongan warga emas itu yang sepatutnya berehat di rumah terpaksa mengerah kudrat bekerja sebagai tukang cuci, pembantu kedai atau berniaga kuih untuk menyara cucu yang ditinggalkan pada usia kecil.
Halimah, 63, berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga empat cucu berusia antara lima hingga 12 tahun selepas ibu bapa mereka bercerai pada 2020.
Katanya, anak perempuannya bernasib malang apabila bersuamikan penagih dadah yang sering keluar masuk penjara sehingga dia kemurungan.
“Ekoran itu, empat cucu saya terabai menyebabkan anak mohon belas ihsan saya menjaga mereka. Saya tidak sampai hati dan bersetuju walaupun saya serba kekurangan.
“Ibu mereka kini bekerja di sebuah restoran di Pulau Pinang. Saya pula jadi pembantu kedai makan dengan upah kurang RM1,000 sebulan selain jual kuih,” katanya ketika ditemui di Kuala Kedah, dekat sini baru-baru ini.
Cerita Halimah, anaknya yang dalam proses untuk pulih daripada masalah kemurungan hanya mengirim wang sekali sekala.
Tambahnya, dia nekad menjaga empat cucunya itu sehingga akhir hayatnya dan mereka bernasib baik kerana mempunyai saudara dan jiran yang prihatin.
“Saya ikhlas menjaga mereka dan berharap anak saya pulih segera untuk pulang dan menjaga cucu-cucu saya itu sebelum saya menutup mata,” katanya.
Bagi Ngah, 67, dari Merbok, Sungai Petani dekat sini, dia menjaga dua cucu termasuk orang kelainan upaya berusia 10 dan 17 tahun selepas ibu bapa mereka bercerai akibat dadah.
“Si sulung saya jaga sejak bayi dan terpaksa letak dalam buaian di kebun ketika saya keluar menoreh. Tujuh tahun kemudian beranak seorang lagi dan saya juga yang membelanya. Saya buat dua kerja. Pagi menoreh dan petang cuci rumah orang,” katanya.
Ujar Ngah, dia mengambil tanggungjawab penuh kerana anak perempuannya telah berkahwin lain.
“Saya berjaga malam ketika cucu sakit, buat susu, mandikan dan sediakan keperluan tetapi sedikit pun tidak menyesal walaupun saya hidap darah tinggi, buasir dan kerap pitam,” katanya yang menerima bantuan RM650 sebulan.
Di Sungai Petani, Asmah, 67, berkata, dia menjaga dua cucu berusia sembilan dan 11 tahun apabila menantunya dipenjara akibat dadah, manakala anak perempuannya meninggal dunia akibat Covid-19 pada 2020.
Katanya, pada mulanya dia mengambil cucu sulung beberapa bulan selepas dilahirkan, manakala adiknya dua tahun kemudian.
“Saya dibantu lapan lagi anak daripada segi kewangan dan dapat bantuan. Saya akan bela mereka sehingga hujung nyawa.
“Menantu saya sudah menghilangkan diri dan tidak pernah tanya keadaan anak-anaknya kerana kerap keluar masuk penjara,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu, di sini.
Di Kulim, Aishah, 53, berkata, dia makan hati dengan sikap anak keduanya kerana melepaskan tanggungjawab menjaga enam anak kepadanya.
“Anak perempuan saya yang berusia 30 tahun menjadi penagih. Dua kali bernikah tetapi bercerai dan sekarang saya bela enam anaknya,” katanya.
Menurut Aishah, dia dibantu seorang lagi anak perempuannya yang mencari rezeki membantunya meringankan beban.
“Sudah puas saya nasihatkan anak supaya berubah tetapi dia degil,” katanya.














