MUTAKHIR ini, tanda-tandanya semakin jelas. Apa-apa yang bermula pasti akan ada pengakhiran. Sama seperti alam ini. Apa yang menakutkan adalah bersediakah kita nanti?
Baru-baru ini beredar di timeline Instagram penulis ceramah Ustaz Wadi Annuar bertajuk, Akhir Zaman: Pembunuhan Semakin Banyak.
Video itu kira-kira seminit. Berikutan tidak puas melihatnya penulis membuat pencarian di YouTube rasmi penceramah bebas tersebut.
Sedikit petikan apa yang dikatakan oleh Ustaz Wadi Annuar berbunyi, “Nabi Muhammad SAW memberitahu umatnya yang tersayang bahawa tanda-tanda dekatnya berlaku kiamat iaitu kehancuran muka bumi ini.
“Ulama-ulama Islam membahagikan tanda-tanda itu kepada dua iaitu tanda-tanda kecil dan besar. Sekarang hampir semua tanda-tanda kecil itu sudah berlaku. Episod kali ini kita masuk tanda kiamat yang seterusnya iaitu banyaknya berlaku pembunuhan.
“Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga manusia saling berbunuhan antara satu sama lain tanpa mengetahui apa penyebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak mengetahui apa penyebab dia dibunuh,” katanya.
Katanya, maka sahabat bertanya kepada baginda: “Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Baginda menjawab: “Itulah al-Hajr, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka,” HR Imam Muslim.
Al-Hajr bermaksud pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan serta hilangnya ilmu.
Ustaz Wadi Annuar berkata, kita kini sudah menyaksikan tanda kiamat ini iaitu banyaknya berlaku pembunuhan.
“Tuan-tuan boleh tengok di Malaysia, di luar negara statistik yang dibunuh pada setiap hari, pembunuhan terlalu banyak. Di Malaysia hari-hari, hampir setiap hari kita boleh dengar tentang pembunuhan itu belum lagi bunuh diri.
“Statistik pada 2019 terdapat kira-kira dua kes bunuh diri sehari di Malaysia. Kes bunuh di tempat kita, hari-hari kita dengar. Bunuh ibu, bunuh kawan akibat pertengkaran, yang bunuh isteri,” ujarnya melalui video yang dimuat naik ke YouTube pada April tahun lalu.
Bayangkan sudah setahun isu ini dikupas oleh Ustaz Wadi Annuar. Kita pula baharu tersedar hari ini selepas mendapati banyaknya kes pembunuhan yang berlaku kebelakangan ini.
Perkara ini bermain-main dalam fikiran penulis. Betapa hampirnya kita dengan aturan-Nya. Sebagai seorang Muslim adalah wajib kita beriman dengan hari kiamat.
Sesungguhnya segala apa yang kita kumpulkan di dunia ini tidaklah baqa. Melainkan, bekalan yang dibawa ke hari kebangkitan nanti. Sebaik-baik ‘kenderaan’ melalui kehidupan ini adalah sabar, syukur dan reda.














