Saudara Pengarang,
SEBAGAI penduduk di sekitar Pantai Dalam, saya ingin mengingatkan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika menggunakan beberapa laluan di sekitar kawasan tersebut.
Ini terutamanya laluan dari persimpangan berhampiran Stesen KTM Pantai Dalam menuju keluar ke susur Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) kerana ia jalan dua hala.
Ramai pengguna terutamanya ‘orang luar’ menganggap laluan ini sehala sehingga sering kali penduduk di sekitar kawasan ini dihimpit kenderaan dari arah Stesen KTM.
Ditambah pula ketika waktu malam apabila sebahagian jalan di situ digunakan sebagai tempat parkir, laluan itu menjadi semakin sempit.
Deretan kedai makan di sepanjang jalan juga turut menyumbang kepada kesesakan jalan, tidak kira siang atau malam apabila ramai yang meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga mengganggu laluan.
Pernah beberapa kali saya nyaris dirempuh kenderaan lain apabila jalan tersebut jadi sempit akibat kenderaan diletakkan di bahu jalan.
Takkan nak tunggu sampai ada kehilangan nyawa baru pihak berkuasa kena bertindak.
Justeru, saya berharap pihak berkuasa memantau laluan ini kerana ada beberapa kes kemalangan juga berlaku terutamanya di selekoh dan berhampiran kedai makan.
Malah, keadaan ini bertambah buruk apabila banyak kereta ‘tersadai’ diletakkan di bahu jalan.
Inilah masanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunda kenderaan diparkir secara haram.
Dengan ada tindakan tegas pihak berkuasa, tiada lagi pihak berani meletakkan kenderaan sesuka hati.
MUSANG BERJANGGUT
Pantai Dalam, Kuala Lumpur














