fbpx
Kedatangan pesakit dari luar negara semakin meningkat di IJN sejak kebelakangan ini.

K2

Malaysia destinasi pelancongan kesihatan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYINGKAP kembali sejarah keluarga sebelah bapanya, Kemal Mochtar mengakui bahawa mereka mempunyai masalah jantung.

“Bapa, datuk, adik kepada datuk dan bapa saudara saya ada masalah jantung. Bapa saya sendiri meninggal dunia pada umur 49 tahun kerana sakit jantung.

“Saya tertanya-tanya sebab keluarga sebelah bapa kena serangan jantung pada umur yang relatif muda,” ujar Kemal dalam akaun TikTok miliknya.

Disebabkan itu, dia memilih melakukan pemeriksaan di dua hospital berbeza di Indonesia.

Dia menjalani pemeriksaan awal bagi mengelak kejadian seperti bapa dan datuknya yang mendapat serangan jantung secara mengejut.

“Keputusan pemeriksaan jantung di dua hospital ini baik-baik sahaja. Saya tidak ada masalah jantung, tetapi dalam diri saya masih ragu-ragu.

“Pada suatu hari, ada kawan saya memuat naik status dalam media sosial bahawa dia berhadapan masalah jantung tersumbat. Ini selepas dia melakukan pemeriksaan jantung di Malaysia,” jelasnya.

Rakannya melakukan pemeriksaan jantung kerana dalam keluarganya ramai yang terkena ‘silent heart attack’.

Rentetan itu, Kemal sanggup ‘terbang’ ke Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan jantungnya di salah sebuah hospital.

RATA-RATA pelancong kesihatan di Malaysia adalah dari negara serantau. – Gambar hiasan

Bagaimanapun, keputusan yang diperoleh tetap sama, di mana jantungnya baik-baik saja.

Disebabkan Kemal mempunyai sejarah keluarga bermasalah jantung, doktor di Malaysia memintanya melakukan pemeriksaan lain iaitu imbasan CT Scan.

“Pemeriksaan ini tidak dilakukan oleh doktor di Indonesia, saya melakukannya di Malaysia. Ternyata setelah imbasan itu dilakukan, ada sumbatan pada jantung saya.

“Itulah salah satu sebab saya datang melakukan pemeriksaan jantung di Malaysia,” ujarnya.

Tidak dapat dinafikan, Malaysia menjadi destinasi pelancongan kesihatan dan ramai pesakit dari luar negara datang mendapatkan rawatan di sini.

Malah, salah seorang pesakit jantung dari Indonesia iaitu Liauw Lidra Effendi Chandra turut datang ke negara ini bagi mendapatkan rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia berhadapan dengan masalah injap jantung tidak normal sejak tiga tahun lalu.

“Saya datang ke IJN untuk menjalani prosedur ‘Transcatheter Aortic Valve Implantation’ (TAVI) kerana di Indonesia prosedur ini belum popular.

“Di Indonesia, kebanyakan prosedur yang sering dilakukan adalah pembedahan pintasan jantung,” ujar lelaki berusia 70-an itu.

Dia cuba mencari rawatan di beberapa hospital lain, namun Effendi Chandra berasa lebih selesa mendapatkan rawatan di IJN.

Ini kerana, sejak dua tahun lalu, dia telah datang ke IJN untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi berkata, IJN adalah hospital khusus jantung.

Ujarnya, disebabkan itu, pihaknya menerima ramai pesakit yang mempunyai pelbagai komplikasi jantung.

“Namun, kebanyakannya pesakit mempunyai komplikasi kompleks. Pesakit ini mahukan prosedur berlainan di IJN yang tidak ditawarkan oleh hospital-hospital di negara mereka.

“IJN juga menerima pesakit yang mahukan prosedur kesihatan mudah tetapi lebih terjamin dengan hasil klinikal terbaik,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pesakit antarabangsa yang datang mendapatkan rawatan di IJN adalah dari Indonesia, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan ekspatriat di Malaysia.

Malah, IJN telah menunjukkan peningkatan dua angka peratusan setiap tahun bagi pesakit antarabangsa.

PARA pelancong kesihatan dari Indonesia bergambar kenangan di Columbia Asia Hospital Tebrau, Johor.

Ia kesan daripada program-program penjenamaan IJN di luar negara dan wujudnya ‘partner’ atau kerjasama IJN dengan hospital-hospital antarabangsa di luar negara seperti di Indonesia, Myanmar, Cambodia dan Vietnam.

Mengulas lanjut, Akmal Arief menjelaskan, terdapat beberapa faktor yang mendorong pesakit antrabangsa mendapatkan rawatan di Malaysia terutamanya di IJN.

Menurutnya, faktor paling utama adalah kerana keberhasilan yang tinggi atau hasil klinikal sesuatu prosedur.

“IJN adalah sebuah pusat kecemerlangan khusus jantung yang mempunyai tahap keberhasilan prosedur klinikal yang tinggi dan antara terbaik di dunia.

“Faktor kedua adalah penggunaan teknologi medikal yang terkini.

“IJN merupakan salah sebuah hospital di rantau ini yang mempelopori penggunaan teknologi medikal terkini,” katanya.

Tambahnya, ia dapat memberi pilihan yang terbaik kepada pesakit bagi mendapatkan perubatan, sekali gus mempunyai kesan yang panjang kepada pesakit.

Selain itu, tahap pelayanan pesakit dan komitmen daripada pasukan IJN turut memainkan peranan besar.

Di IJN, sistem pelayanan pesakit antarabangsa adalah komprehensif dan teratur.

IJN mempunyai Pusat Pelayanan Pesakit Antarabangsa bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan.

Bantuan itu bermula daripada menjawab segala persoalan mengenai medikal, kewangan, penterjemah bahasa, pengendalian visa pelancong sehingga pengurusan hotel dan tiket penerbangan pesakit.

Dalam pada itu, Columbia Asia Hospital turut menjadi pusat perubatan pilihan para pesakit antarabangsa mendapatkan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Columbia Asia Hospital Tebrau dan Iskandar Puteri, Johor, Rahani Yaacob berkata, jumlah kedatangan pesakit antarabangsa di hospital itu menunjukkan peningkatan saban tahun.

Menurutnya, hospital itu mula beroperasi sejak 2019, namun disebabkan pandemik Covid-19, pelancong dari Indonesia dan Singapura tidak dapat datang.

“Pada 2021, kami menerima 461 pesakit, tetapi bertambah kepada 782 pesakit pada 2022.

“Pada tahun lalu, kami menerima 1,023 pesakit. Sehingga Mei tahun ini, kita telah menerima 603 pesakit dan jumlah itu akan bertambah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahani berkata, kebanyakan pesakit yang datang ke situ untuk mendapatkan rawatan jantung.

Selain itu, ada juga pesakit yang datang untuk isu kesihatan lain seperti masalah pernafasan, hipertensi, kanser dan lain-lain lagi.

“Bagi pelancong Singapura, kebanyakan mereka datang untuk melakukan saringan kesihatan di sini sebelum meneruskan rawatan di negara mereka. Bagi pelancong Indonesia, kebanyakan mereka akan mendapatkan rawatan di sini,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN