PETALING JAYA – Kes orang hilang semakin membimbangkan apabila rata-rata ahli keluarga risau orang yang mereka sayangi itumungkin ditimpa tragedi dan berakhir dengan kisah menyayat hati.
Portal Polis Diraja Malaysia mendedahkan terdapat 276 individu termasuk kanak-kanak dan remaja berusia belasan tahun dilaporkan hilang di seluruh negara sejak 2010. Mereka masih belum ditemui sehingga kini.
Di mana mereka ini? Persoalan ini sukar dirungkaikan kerana kehilangan mereka itu seakan tidak dapat dijejaki walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihak berkuasa untuk mencarinya.
Kebimbangan mereka berasas apabila kes Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu ditemui mati dibunuh dengan mayatnya ditinggalkan di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor Isnin lalu.
Selangor mencatatkan bilangan paling ramai kanak-kanak dan remaja hilang iaitu 90 orang diikuti Sabah (39), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (19), Johor (18), Sarawak (16), Pahang (12), Perak (12) dan Kelantan (11), Kedah (10), Terengganu (7), Melaka (6) dan Perlis (1).
Untuk tahun ini sahaja, 11 kanak-kanak hilang sejak Januari dengan kes terbaharu melibatkan mangsa berusia 12 tahun, Nurul Qhalisya Razi di Kemaman, Terengganu Selasa lalu.
“Bagi kehilangan remaja, seramai 30 orang dilaporkan hilang di seluruh negara pada Jun dan Julai.
“Daripada jumlah itu, seramai 14 orang hilang pada bulan ini dengan kes terbaharu melibatkan seorang remaja berusia 16 tahun di Negeri Sembilan pada 28 Jun lalu,” kata portal itu.
Keluarga salah seorang yang hilang, Saiful Azwan Dahlan, 38, berkata, adiknya, Syahrul Ashraf, 33, gagal dikesan ketika menghantar penumpang e-hailing ke Teluk Intan, Perak sejak 11 Julai lalu.
“Dia tidak mengadu apa-apa ketika membalas WhatsApp pada hari itu. Dia tidak pernah hilang begini atau mempunyai masalah rumah tangga.
“Kami sekeluarga amat risau kerana begitu banyak kejadian yang tidak diingini berlaku kepada orang hilang kebelakangan ini,” katanya.
Menurut Saiful Azwan, adiknya menetap di Pandan Indah, Ampang telah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia sembilan hingga dua tahun.
“Sesiapa ada maklumat boleh hubungi saya di talian 017-632 8457,” katanya.
Satu lagi kes hilang berlaku di Kampung Terusan Juasseh, Kuala Pilah melibatkan seorang remaja berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani berkata, Fiffy Arnatasya Abdullah gagal dikesan sejak pukul 1 pagi 28 Jun lalu.
“Dia berkulit kuning langsat, tinggi kira-kira 150 sentimeter, berat 45 kilogram, berbadan kurus dan berambut warna separuh perang, lurus dan panjang separas bahu,” katanya.
Di Bachok, Kelantan, Siti Ruhaini Najmi, 37, berharap suaminya, Mohd. Herni Mohd. Rawi, 41, yang hilang sejak lima tahun lalu ditemui walaupun ia sesuatu yang mustahil.
“Dia hilang ketika bertugas di perairan Sabah dengan sebuah syarikat kapal. Sejak itu saya selalu menunggunya pulang dan berniaga kecil-kecilan untuk menyara dua anak,” katanya.














