KETIKA ramai ibu bapa gembira membesarkan anak di depan mata, ada banyak pasangan ‘berperang’ dengan emosi, menahan telinga daripada sindir dan cemuh dek hanya kerana memiliki anak istimewa.
Ternyata menepis dugaan bukan semudah menutup telinga. Kadangkala telahan pantas hadir dalam kalangan jiran tetangga dan orang terdekat.
Namun, hati pasti remuk andai kekurangan anak dijadikan perbandingan dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat.
Menyedari permasalahan tersebut, Sekolah Pendidikan Khas Taarana, Petaling Jaya di bawah naungan Yayasan Rythm yang ditubuhkan pada 2011 mengambil inisiatif mengadakan acara sukan sekali gus meyangkal persepsi masyarakat bahawa kanak-kanak autisme jauh ketinggalan.
“Sebagai ibu yang mempunyai anak kurang upaya, saya faham kebimbangan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka menyertai sebarang aktiviti di luar bersama orang ramai.
“Bimbang akan persepsi masyarakat yang mungkin tidak faham keadaan anak-anak mereka.
“Bagaimanapun, tidak adil kepada anak-anak ini kerana mereka juga berhak menikmati saat gembira bersama-sama kawan, guru dan juga keluarga,” kata Pengetuanya, Dr. Sunita Sivakumaran kepada K2.
Jelasnya, justeru mereka menganjurkan Hari Sukan Sekolah Taarana sebagai salah satu peluang merasai suasana sebenar bersukan.
“Hari Sukan ini adalah bukti kegigihan dan ukuran potensi pelajar kami. Ia membuktikan komitmen sekolah untuk memperkasa pelajar dalam mencapai potensi terbaik mereka.
“Kami mahu membantu kanak-kanak kurang upaya untuk turut merasai pengalaman aktiviti yang menguji fizikal dan minda seterusnya meraikan pencapaian dalam bersukan.
“Selepas diperkenalkan pertandingan dalam bersukan beberapa tahun sebelum ini, mereka teruja dan bersemangat.
“Kesempatan tersebut kita ambil sebagai galakan untuk terus maju dan berjaya dalam hidup,” katanya.
Pada hari tersebut, kegembiraan jelas terbayang di wajah peserta yang mengambil bahagian dan disokong dengan sorakan dan jalinan semangat setiakawan peserta lain yang mempamerkan bakat luar biasa mereka.

Ini membuktikan kegigihan dan kebolehan yang tiada batasan walaupun tumbesaran mereka tidak sama seperti kanak-kanak sebaya lain.
“Di sini dipraktikkan sesi terapi khusus untuk kanak-kanak yang alami masalah kognitif dan deria.
“Mereka dibimbing terutama dalam acara sukan supaya suasana dewan menjadi karnival yang meriah sekali gus momen tersebut sangat penting kepada pengalaman anak-anak itu.
“Seluruh tenaga pengajar di sekolah bekerjasama mengatur jadual hari sukan tahun ini kerana mereka pelajar istimewa yang memerlukan lebih perhatian dan pemantauan,” tuturnya.
Acara dimulakan dengan para pelajar berarak dalam formasi kawad sambil mengenakan rona kebanggaan rumah pasukan merah, biru dan hijau.
“Sebagai guru kami bangga kerana mereka berjaya untuk melangkah serentak dalam persembahan acara senamrobik ringan yang menyemarakkan semangat kekitaan di kalangan peserta.
“Acara permainan sukan juga direka dengan teliti untuk menggalakkan aktiviti fizikal, koordinasi, kerja berpasukan dan tidak lupa juga keseronokan.
“Dalam permainan ‘Harvesting Berries’ misalnya, mereka menunjukkan ketangkasan sewaktu mengumpul bola berwarna sama dengan warna pasukan yang diwakili.
“Seterusnya pertandingan petanque pula, satu permainan seperti golf padang, mereka menggunakan koordinasi tangan dan mata sambil berusaha memukul bola paling dekat dengan sasaran gol,” ujarnya lagi.
Jelasnya, apa yang lebih membanggakan, ibu bapa turut memainkan peranan apabila turut sama beraksi semasa ‘Wheels of Pong’ yang mana mereka mengimbangi bola ping-pong atas sudu dan berlumba ke arah garisan penamat.
Sementara itu, seorang penjaga iaitu Prof. Madya Dr. Annapurny Venkiteswaran memuji impak transformatif acara sukan yang diperkenalkan itu.
“Melihat anak saya, Siddarth Menon, 9, berubah lebih baik selepas dihantar ke sekolah ini membuatkan saya bangga, yakin dan percaya bahawa persekitaran yang meraikan kepelbagaian adalah penting untuk memupuk pertumbuhan positif individu.
“Saya menyedari kelainannya apabila berusia dua tahun apabila dipanggil tidak memberi reaksi, tiada hubungan mata dan dia (anak) disahkan autisme.
“Selepas dua tahun bersekolah, banyak perkembangan anak, terutama aspek komunikasi dan berdikari. Kami sekeluarga bangga dengan pencapaian tersebut,” katanya.














