APABILA melancong atau bercuti, bilik hotel merupakan antara kos yang menelan belanja besar. Ia bergantung kepada faktor-faktor seperti lokasi, jenis penginapan dan kemudahan yang disediakan.
Bagi sesetengah orang, mereka tidak begitu menekankan kemudahan atau kemewahan bilik penginapan ketika bercuti kerana lebih banyak menghabiskan masa di luar bilik hotel.
Namun bagi sesetengah individu, mereka amat mementingkan pengalaman bercuti di dalam bilik hotel serba mewah.
Mereka sanggup membayar harga tinggi untuk menikmati semua kemudahan saat bermalam di situ. Minggu ini, Panorama menyenaraikan lima bilik hotel termahal di dunia.
1. Empathy Suite, Resort Palms Casino, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) – RM469,000
Resort butik di Las Vegas ini menampilkan konsep seni unik yang dihasilkan oleh beberapa artis terkenal dunia. Vila Empathy Suite Sky merupakan bilik hotel termahal dunia yang berharga AS$100,000 (RM469,000) semalam. Ia direka oleh artis terkenal Britain, Damien Hirst dan dilengkapi dengan dua bilik tidur utama yang menghadap Las Vegas Strips.
2. Royal Penthouse Suite, Hotel President Wilson, Geneva, Switzerland – RM375,000
Menghadap Tasik Geneva, Hotel President Wilson merupakan sebuah hotel mewah yang terletak di salah satu kawasan paling kontemporari di Geneva.
Bilik hotel paling mahal berharga AS$80,000 (RM375,000) satu malam itu dilengkapi dengan piano besar Steinway, teleskop untuk melihat bintang, teres lilit, 12 bilik tidur dan juga televisyen terbesar dunia dengan skrin berukuran 103 inci.
Tarikan lain pada hotel ini adalah tingkap-tingkap besarnya yang menawarkan pemandangan bandar dan keindahan Tasik Geneva.
Individu ternama seperti Bill Gates dan penyanyi terkenal, Rihanna dikatakan pernah menginap di sini.
3. The Mark Penthouse Suite, Hotel The Mark, New York, AS – RM352,000
Terletak di bangunan mercu tanda 1927, The Mark berada di pusat kekayaan sosial dan budaya Manhattan di Upper East Side.
Ia dikelilingi oleh muzium, kedai, restoran dan taman urban di Central Park.
Harga bagi bermalam di Penthouse Suite ini adalah AS$75,000 (RM352,000).
Direka oleh pereka dalaman Perancis terkenal, Jacques Grange, suite ini juga merupakan bilik terbesar di AS.
Ia dilengkapi dengan teres atas bumbung yang menghadap Central Park dan Muzium Seni Metropolitan.
4. The Muraka Suite, Pulau Rangali, Maldives – RM281,500
Terletak lima meter di bawah laut di tengah-tengah Lautan Hindi, Muraka merupakan hotel dalam laut pertama di dunia.
Penginapan di The Muraka untuk satu malam berharga AS$60,000 (RM281,500) termasuk bot laju peribadi, jet ski percuma, butler dan cef peribadi, rawatan spa serta jurulatih peribadi.
Bilik tidur itu juga dilengkapi siling kaca akrilik melengkung dan dinding yang membolehkan tetamu memerhati kehidupan laut di luar.
5. The Penthouse Suite, Hotel Martinez by Hyatt, Cannes, Perancis – RM258,000
Membawa pengunjung ke zaman kegemilangan 1920-an, harga bagi satu malam di bilik The Penthouse Suite berharga AS$55,000 (RM258,000). Terletak di aras tertinggi hotel berprestij tersebut, suite itu menawarkan teres besar berpanel kayu peribadi yang menghadap laut, satu katil bersaiz king, ruang tamu dan ruang makan.
Hotel yang menempatkan 409 buah bilik itu juga dilengkapi sebuah restoran Michelin dua bintang dengan dekorasi bertemakan filem klasik.













