PENGGEMAR kereta sport pastinya ternanti-nanti kemunculan Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition yang dikatakan model sport berprestasi tinggi antara terlaju di dunia.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model eksklusif edisi Formula 1 itu minggu lalu yang didatangkan dengan warna badan Alpine Grey Solid dengan lencana besar AMG di sisi kereta.
Jentera ini dibekalkan dengan kuasa enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang digandingkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.
Walaupun tiada lagi ngauman enjin yang ‘garang’ dengan enjin 4.0 liter V8 twin-turbo seperti generasi sebelum ini, prestasi kereta itu ditambah baik dengan teknologi kuasa elektrik.
Penampilan luaran Mercedes-AMG C 63 S E lebih agresif dan menonjol diserlahkan dengan jalur merah pada apron hadapan, belakang dan sisi badan sesuai dengan gaya kereta prestasi yang dibawa.

Ia diperkemas lagi dengan penggayaan rim aloi AMG bersaiz 20 inci 10 jejari berwarna hitam dengan kaliper brek merah bagi menonjolkan imej sporty.
Tambahan lain ialah AMG Night Package yang menampilkan serlahan hitam krom pada gril hadapan serta emblem model pada penutup but belakang dan kedua-dua fender hadapan.
Sesuai dengan imej sporty, model ini tampil dengan lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta pakej aerodanamik dengan ‘splitter’ dan ‘diffuser’ warna hitam.
Meninjau ke ruangan kabin, Mercedes-AMG C 63 S E Performance bakal memberi keselesaan kepada pemandu dengan tempat duduk material upholsteri kulit Nappa hitam eksklusif bersama kemasan benang merah dan lencana AMG pada perehat kepala hadapan.
Perincian lain termasuklah tali pinggang keselamatan warna merah dan elemen trim gentian karbon AMG eksklusif dalam kemasan hitam merah, stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa dan gentian mikro Microcut dengan jahitan kontras merah.
Jentera ini juga tampil eksklusif dengan lencana F1 Edition di ruang dalaman serta karpet lantai F1 Edition untuk model keluaran khas ini.
Menjengah ke ruangan kabin, model C 63 S Performance dilengkapi sistem infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menerusi skrin LCD utama 11.9-inci.

Untuk infotainment, C 63 S ini menerima sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menerusi skrin bersaiz 11.9-inci di tengah papan pemuka.
Selain itu, terdapat paparan instrumen digital dengan skrin LCD 12.3 inci di sebalik stereng pemandu bersama ciri lain paparan head-up dan juga sistem bunyi audio Bermester 3D serta bumbung panaromik.
Dari segi kuasa, sedan AMG ini hadir dengan kuasa teknologi hibrid yang terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo bersama unit pengecas turbo elektrik yang besar.
Dengan bantuan motor elektrik 150kW atau 320Nm untuk sistem PHEV, hasilnya ia mampu menjana kuasa maksimum 680hp dan tork 1,020Nm.
Kuasa disalurkan kepada semua roda AWD melalui sistem transmisi automatik AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan roda 4Matic+.
Kadar pecutan model ini dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa sepantas 3.4 saat.

Enjin jentera ini juga dibekalkan dengan unit starter generator yang digerakkan oleh tali sawat (RSG).
RSG ini turut berhubung dengan jaringan sistem asas 400 volt pada kereta berkenaan dan mampu membekalkan kuasa elektrik ketika kereta tidak bergerak sekiranya bekalan kuasa pada bateri voltan tinggi pada tahap yang rendah.
Model Mercedes-AMG itu turut hadir dengan mod pemanduan dengan pilihan mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Race, Slippery dan Individual bagi memberikan pengalaman pemanduan menakjubkan.
Dari aspek keselamatan, model Mercedes-AMG ini menerima sistem bantuan pemanduan Driving Assistance Package Plus bersama bantuan jarak aktif Distronic, bantuan stereng aktif dan bantuan kekal lorong aktif.
Ia juga diberikan Parking Package dengan kamera 360-darjah, bantuan parkir aktif Parktronic dan bantuan parkir memori.
Kesimpulannya, sedan berprestasi itu pastinya memberikan pengalaman pemanduan yang menakjubkan dengan kapasiti enjin berkuasa tinggi selari dengan teknologi jentera Formula 1.














