fbpx
TIDAK mampu sepenuhnya menghapus daki kontroversi lama, Sophia Albarakbah setidak-tidaknya lega apabila segala kerja keras dan bakat lakonannya semakin diyakini peminat mahupun penggiat industri.

Ramai lagi wanita lain lebih cantik – Sophia Albarakbah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS enam tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, hanya dua tahun kebelakangan ini nama Sophia Albarakbah dikenali ramai.

Bukan menidakkan bakat lakonan, tetapi realitinya Sophia mula menarik perhatian selepas namanya terpalit kontroversi bersama pelakon lelaki yang berstatus suami orang.

Bermula dengan aktor Shah Jaszle, nama wanita berusia 31 tahun semakin panas apabila turut terkait trilogi kontroversi Aliff Aziz.

Enggan dirinya dilihat sebagai pelakon kontroversi, Sophia berkeras, tidak mahu lagi dikaitkan dengan mana-mana pelakon lelaki selepas ini.

SERING dipuji cantik bahkan dikatakan meraih tuah masuk ke dunia seni bersandarkan paras rupa, Sophia pula sebaliknya. Baginya, ramai lagi wanita lain lebih cantik berbanding dirinya.

Bukan lari

“Saya tidak akan jawab soalan yang tidak berkaitan dengan saya. Bukan saya melarikan diri daripada pihak media sebelum ini, tetapi sejujurnya saya memang sangat sibuk dengan kerja.

“Maafkan saya, harap hormatilah pendirian saya yang enggan lagi menggulas tentang sebarang isu kontroversi. Saya mahu ‘move on’, cukuplah saya mahu fokus terhadap kerjaya,” kata bintang drama From Saga With Love itu.

Bukanlah melarikan diri, tetapi bagi bintang filem Saka Perawan itu, menjawab sebarang soalan berkaitan kontroversi tidak mendatangkan sebarang faedah kepadanya.

“Jujur, saya memang tidak mahu jawab soalan berkaitan atau melibatkan diri saya dengan kontroversi. Selain tidak mendatangkan manfaat, saya rasa perkara itu tidak ada kepentingan buat orang ramai.

“Sebagai individu dan pelakon, saya mahu meneruskan kelangsungan hidup serta kerjaya. Jika ada kesalahan daripada pihak saya, saya akan cuba perbaiki.

“Saya faham tugas pihak media untuk bertanyakan soalan, tetapi hormatilah pendirian saya,” tegas Sophia yang kekal mengunci mulut meskipun diasak soalan demi soalan.

SOPHIA enggan lagi terlalu terbuka mengulas kisah lama yang dirasakan tiada manfaat kepada khalayak.

Jelita

Dalam pada itu, Sophia kini mampu menghembuskan nafas lega apabila bakat lakonan semakin dihargai dan diterima ramai.

Jika sebelum ini, dia dikatakan hanya menjual paras rupa, tetapi selepas mencuba pelbagai watak, bakatnya mendapat pengiktirafan termasuk dinobatkan sebagai Aktres Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-35.

“Sejujurnya saya tidak rasa diri saya cantik sebab ramai orang lebih cantik daripada saya. Apa pun, terima kasih jika ada yang berasakan saya cantik.

“Bagi saya cita rasa dan pendapat orang berbeza-beza. Cuma secara peribadi saya sendiri boleh tahu lakonan saya bertambah baik atau tidak.

“Peluang sudah ada di depan mata, sudah tentu saya akan cuba yang terbaik dan perbaiki mana yang kurang demi kelangsungan karier.

“Untuk kekal lama dalam industri bukan hanya dengan wajah, tetapi bakat perlu seiring,” jelasnya.

Sambung Sophia, dia sendiri dapat melihat perubahan dalam diri selepas enam tahun berkerja sebaga pelakon.

Paling ketara adalah tahap keyakinan diri yang semakin meningkat apabila berhadapan orang ramai.

“Rezeki saya dapat melakonkan banyak watak yang berbeza.

“Perubahan yang ketara selain lakonan adalah tahap keyakinan diri, sekarang saya sudah boleh berbual dan bercakap dengan sesiapa sahaja.

“Pada peringkat awal jadi pelakon dahulu, saya malu dan takut-takut.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk bercakap dan memulakan perbualan.

“Tetapi seiring dengan waktu, keyakinan diri itu mula meningkat secara perlahan-lahan,” kongsi Sophia.

SELEPAS naskhah komedi seram, Saka Perawan yang masih berlegar di pawagam tanah air, Sophia bakal muncul pula dengan sebuah filem aksi berjudul, Reeza.

Tak kisah comot

Berbicara tentang karier lakonannya, selepas Saka Perawan memulakan tayangan 27 Jun lalu, Sophia bakal muncul dengan sebuah filem romantik komedi aksi berjudul Reeza.

Jelas Sophia, filem tersebut akan menampilkan sisi berbeza lakonan.

“Saya ingin menjadi seorang pelakon yang versatil, tidak mahu terikat dengan satu jenis watak sahaja.

“Banyak genre yang telah saya cuba tetapi yang belum tercapai adalah sebuah cerita epik dan aksi.

“Saya dapat mencuba watak aksi dalam filem Reeza, tetapi tidak sepenuhnya ada babak pertarungan.

“Jadi, jika ada peluang saya ingin sebuah karya yang menampilkan aksi 100 peratus,” ujar Sophia.

Kata Sophia, impiannya mahu menjadi seorang pelakon yang memberi impak kepada penonton.

Justeru, dia tiada masalah jika perlu bersusah payah atau tidak kelihatan cantik di layar lebar.

“Saya terbuka untuk berlakon apa sahaja watak, jika filem aksi itu memerlukan saya berlawan saya sanggup hadiri kelas aksi dan berlawan sendiri.

“Bahkan saya juga tidak kisah untuk nampak comot demi memberi impak kepada penonton.

“Lakonan adalah kerjaya saya, jadi saya harus jaga dan berusaha menjadi yang terbaik supaya kekal lama dalam industri,” tutur Sophia menutup bicara.

SOPHIA mengimpikan watak lebih variasi dan tiada masalah untuk tampil comot serta tidak berdandan dalam kerja lakonannya pada masa akan datang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN