PUTRAJAYA – Rata-rata individu yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi dilaporkan paling ramai mendapatkan rawatan di hospital khususnya pada musim ‘raja buah’ ekoran berdepan masalah peningkatan kandungan asid dalam badan.
Masalah dikenali sebagai ketoasidosis diabetik (DKA) itu tercetus apabila tubuh badan pesakit menghasilkan lebih banyak asid darah yang dikenali sebagai keton apabila terlalu banyak menikmati buah durian.
Pakar kesihatan awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, pesakit kencing manis mempunyai risiko tinggi berdepan DKA ekoran tindak balas insulin rendah berbanding individu normal.
“Bagi pesakit kencing manis, insulin mereka kurang responsif seperti individu normal, jadi apabila gula naik tinggi, lebih-lebih lagi jika tidak memakan ubat mengikut masa ditetapkan, maknanya lebih mudah terjadi DKA.
“Dalam bahasa mudah, DKA terjadi apabila berlaku kandungan gula terlalu tinggi dalam badan selepas pengambilan durian yang tidak terkawal.
“Berbeza dengan orang normal, jika durian diambil dengan kuantiti tinggi, namun paras gula akan turun dengan cepat memandangkan insulin dalam badan bertindak secara pantas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, pesakit buah pinggang juga tidak digalakkan memakan durian kerana kandungan potassium yang lebih tinggi berbanding pisang.
Ia sekali gus berupaya menyebabkan masalah hyperkalemia yang meningkatkan risiko serangan jantung dan masalah pernafasan kepada pesakit terutamanya mereka yang menghidap diabetes.
Mengulas lanjut, jelas Dr. Hanafiah, peningkatan asid dalam badan yang tinggi pada masa singkat juga akan menyebabkan beberapa komplikasi kepada organ lain seperti jantung selain kegagalan buah pinggang dan otak.
“DKA juga menyebabkan komplikasi pada tiga organ penting manusia iaitu jantung, otak dan buah pinggang kerana ia terjadi ekoran peningkatan gula tinggi dalam badan yang menyebabkan pengumpulan asid.
“Ia seterusnya akan menyebabkan risiko lain kepada pesakit seperti buah pinggang rosak, strok dan beberapa lagi kerana tidak ada pengawalan ketika mengambil durian,” jelasnya.
Susulan itu, Dr. Hanafiah menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang mempunyai penyakit berkaitan untuk terus mengawal nafsu ketika menikmati raja buah bagi mengelakkan risiko penyakit lain.
“Nasihat saya mudah sahaja, pesakit kencing manis, kalau teringin mahu makan durian, makanlah seulas sahaja, tetapi pastikan ambil ubat atau cucuk insulin mengikut waktu.
“Tidak salah untuk lepas keinginan, namun perlu ikut ketetapan disarankan pegawai perubatan seperti ambil ubat ikut masa ditetapkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














