Belajar lima hari, bekerja bersungguh-sungguh hujung minggu. Itu pegangan pelajar jurusan undang-undang, Dhiya Denea Shukri, 24, bagi memastikan dirinya tidak ‘hanyut’ dan berjaya mengimbangi masa dengan baik.
Penuntut tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini juga merupakan seorang pencipta kandungan selain menjalankan perniagaan barang perhiasan wanita termasuk klip rambut.
Baginya, soal masa dan tugas sebagai pelajar bukan halangan asalkan ada kemahuan. Kepada Kosmo! Ahad, Dhiya Denea atau lebih dikenali Denea berkongsi mengenai dirinya.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri Denea
DENEA: Feminin, ekstrovert, senang bersosial serta penggemar K-Pop. Saya suka menonton cerita seram, takut tapi seronok. Biarpun ‘gayat’ dengan ketinggian, saya suka cabar diri dengan perasaan adrenalin yang mendebarkan.
Kenapa pilih jurusan undang-undang?
Pada mulanya saya mahu menjadi doktor haiwan tetapi cita-cita itu bertukar kepada peguam. Semuanya kerana kakak, kejayaannya menjadi inspirasi buat saya menyambung pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam masa sama, saya usahakan bisnes, Blingsbydenea yang menawarkan perhiasan wanita direka sendiri, klip rambut serta bag pouch khas untuk gadis-gadis yang bersifat feminin.
Subjek yang paling diminati?
Criminal Law dan Evidence law, dan oleh kerana saya minat dalam bidang itu jadi saya perlu mengkajinya dengan lebih dalam. Selepas tamat pengajian saya akan buat Chambering (Latihan Dalam Kamar) selama sembilan bulan.

Penuntut, pencipta kandungan, boleh kongsi cabaran dihadapi?
Cabaran apabila mengejar tarikh akhir tugasan diberi pensyarah dan dalam masa sama perlu menghasilkan video menarik. Paling tidak boleh dilupakan apabila saya terpaksa merakam video sebanyak tiga kali kerana pengeluar produk tukar konsep saat akhir.
Apa dilakukan masa lapang?
Saya suka membuat aksesori manik, melakukan pilates dan menonton drama Korea untuk belajar asas negara itu selain melatih diri di YouTube.
Lelaki idaman Denea?
Seorang yang rajin dan lucu selain tahu apa yang penting untuk masa depannya.
Siapa sumber inspirasi dalam fesyen?
Saya suka fesyen yang sederhana, daripada Sofia Richie, walaupun sederhana tapi nampak elegan dan sopan.