fbpx
KABIR ALI bergambar di sisi arca plastik yang dihasilkannya sambil menunjukkan reka corak yang boleh dihasilkan daripada penggabungan plastik-plastik bungkus.

Ubah plastik terpakai jadi bahan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MATA pemuda itu tertarik melihat sebuah arca yang dibuat menggunakan bahan-bahan terbuang iaitu plastik pembungkus terpakai yang dicantumkan menjadi jalur-jalur panjang dan digantung di sekitar tiang.

Berkunjung ke Festival Tukang 2.0 di The Spine PJKita, Petaling Jaya, Selangor, Daniel Lee, 15, kemudian melihat berhampiran arca itu sekumpulan pengunjung sedang menyertai bengkel seni kraf menggunakan bahan plastik terpakai.

Tertarik dengan aktiviti tersebut, dia bersama ibunya kemudian turut serta menyertainya dan tidak menyangka beg plastik atau plastik pembungkus boleh diubah (upcycle) menjadi pelbagai barang baharu.

“Ini kali pertama saya dapati plastik yang biasa kita lihat membungkus makanan boleh diolah menjadi pelbagai hasil kraf tangan, malah arca yang menarik.

“Saya amat teruja kerana saya memang meminati seni kreatif dan ia juga sangat praktikal untuk dilakukan di rumah,” katanya ketika ditemui K2 di festival tersebut.

Tambah anak tunggal itu, selain elemen seni dan kreativiti dia juga tertarik dengan seni yang dikenali sebagai menggabung plastik (plastic fusing) itu kerana nilai kelestariannya memanfaatkan bahan terpakai.

Kongsinya lagi, selama ini jika plastik tidak disimpan untuk diguna semula buat membungkus makanan atau lain-lain, plastik biasanya dibuang begitu sahaja.

Baginya, seni ini dilihat amat berguna untuk memanfaatkan bahan tersebut sekali gus mengamalkan gaya hidup lestari selain mengurangkan sisa buangan plastik.

Seni menggabung plastik merupakan satu kemahiran mudah menggabungkan bahan-bahan ‘plastik lunak’ dengan menggunakan haba untuk menjadi satu hamparan plastik sebagai bahan asas pelbagai guna.

Biasanya, bahan baharu ini digunakan untuk pembuatan bahan kraf tangan seperti beg tote, rantai kunci, penanda buku, aksesori dan sebagainya mengikut kreativiti.

Tidak hanya itu ia juga boleh digunakan sebagai bahan asas tidak konvensional dalam pembuatan baju avant garde hingga arca-arca yang menarik.

Berkongsi ilmu seni menggabung plastik di Festival Tukang 2.0, artis transdisiplin, Kabir Ali Roslan, 29, memberitahu kemahiran menggabung plastik adalah hobi yang mudah untuk dipelajari.

Katanya, hal ini berikutan semua yang diperlukan untuk melakukan seni ini boleh didapati di rumah termasuk bahan asas iaitu plastik pembungkus.

“Seni menggabungkan plastik adalah teknik yang menarik kerana ia membolehkan kita bermain dengan suhu seterika panas dan reka bentuk yang boleh direka atau dibuat secara rawak sepenuhnya.

“Seni ini ialah teknik yang memberikan hasil yang tidak dapat diramalkan kerana ia menggunakan pelbagai jenis plastik yang digabungkan menggunakan haba daripada seterika panas,” ujarnya.

Tambahnya, antara barangan yang digunakan untuk menggabungkan plastik adalah plastik terpakai, seterika dan kertas pembakar sebagai pelapik.

Jelasnya lagi, bagi menggabungkan plastik, pertama, plastik bungkus akan dipotong kepada kepingan kemudian dilapiskan sebelum dilapik menggunakan kertas pembakar.

Seterusnya, ia akan diseterika panas dengan haba yang sesuai bergantung kepada ketebalan plastik yang akan menggabungkan lapisan plastik kepada satu helaian plastik baharu.

Orang ramai daripada pelbagai kaum dan peringkat usia menunjukkan minat untuk menerokai seni lestari tersebut.

Helaian plastik baharu inilah yang akan digunakan sebagai bahan asas untuk membuat kraf mengikut kreativiti masing-masing.

“Dalam proses menggabungkan plastik, hasil bahan asas itu boleh sahaja polos atau bercorak dan untuk menghasilkan itu, pembuat boleh mencarik plastik atau membuat bentuk motif dan diletakkan di atas helaian dasar sebelum diseterika.

“Bagi kertas lapik, sebaiknya guna kertas pembakar kerana ia boleh menyebarkan haba dengan lebih baik, namun begitu pembuat juga bebas menggunakan kertas lain seperti kertas minyak atau mahjong,” kongsinya.

Jelasnya lagi, dalam seni ini, pembuat tidak perlu takut jika terdapat kesilapan seperti terbuat plastik berlubang kerana jika ia terjadi bahan yang rosak boleh dimanfaatkan semula.

Hal ini yang menjadikan seni ini lestari kerana bahan plastik walaupun sudah diolah masih boleh dipakai ulang untuk menghasilkan bahan yang baharu.

Bagi penghasilan produk daripada bahan asas plastik yang digabungkan juga amat pelbagai dan ia juga amat tahan lasak selain kalis air.

Kongsi pemuda asal Kuantan itu lagi, sebagai ahli seni kreatif dia juga memfokus kepada seni lestari dan bahan plastik yang digabungkan juga merupakan antara ‘bahan mentah’ buatnya dalam menghasilkan karya seni.

“Kita boleh buat beg, peneduh lampu, pinggan mangkuk, dulang atau apa-apa sahaja termasuk membuat pakaian, malah saya turut menghasilkan arca berskala besar menggunakan bahan plastik yang digabungkan ini.

“Daripada sampah kita dapat menghasilkan sesuatu yang indah dan plastik juga boleh diberikan peluang kedua untuk memberi manfaat kepada manusia,” ujarnya.

Katanya lagi, seni menggabungkan plastik ini masih baharu dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun begitu ia sebenarnya sudah menjadi budaya di beberapa negara luar.

Bagi Kabir Ali, rakyat Malaysia perlu membantu mengurangkan sisa buangan daripada rumah dengan mengamalkan amalan kitar semula menerusi pembudayaan beberapa aktiviti lestari.

Menggabung plastik adalah salah satu caranya dan tidak hanya itu ia juga boleh menjadi sumber pendapatan tambahan dengan menjual kraf menggunakan bahan asas tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN