KOTA BHARU – Seorang kontraktor terpaksa mengubah penggunaan kenderaannya daripada memandu trak pikap kepada menunggang motosikal untuk bergerak ke kawasan projek pembinaan.
Ariffin Mat, 67, berkata, ia merupakan langkah yang paling sesuai buat masa ini dari segi penjimatan.
Bagaimanapun katanya, dia tetap perlu memandu trak pikap jenis Toyota Hilux miliknya sekurang-kurangnya dua kali seminggu jika perlu mengangkut barangan ke tapak pembinaan.
“Sebelum ini, hari-hari saya memandu trak pikap. Jika perlu membawa batu bata, mozek dan simen, saya terpaksa juga memandu kenderaan.
“Apabila tiada keperluan mengangkut barangan, saya akan menunggang motosikal untuk memantau perkembangan projek perumahan di tapak pembinaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Ariffin memberitahu, dia sudah menggunakan trak pikap itu selama lebih 10 tahun dan merasakan peyasaran harga diesel yang diumumkan kerajaan baru-baru ini sedikit membebankan.
“Penggunaan trak pikap amat penting buat saya yang bekerja sebagai kontraktor.
“Jika kos pengangkutan naik, sudah pasti harga barangan dan upah dalam bidang pembinaan akan meningkat.
“Buat masa ini, saya perlu berjimat-cermat. Nasib baik ada sebuah motosikal yang boleh ditunggang untuk urusan harian terutamanya ke tapak perojek pembinaan,” ujarnya.














