PETALING JAYA – Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara diserbu orang ramai yang sanggup beratur panjang serta menunggu lama untuk melakukan permohonan skim i-Sinar bagi kategori 1 yang mula dibuka semalam.
Tinjauan Kosmo! di KWSP di sini mendapati, rata-rata ahli hadir bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai skim itu.
Seorang pencarum, K. Santhanam, 48, berkata, dia bukan tidak percaya dengan permohonan secara online, namun bimbang jika gagal mendapatkan wang melalui skim berkenaan.
“Saya inginkan kepastian menyeluruh mengenai skim ini, jadi saya nak tanya sendiri kepada kakitangan KWSP. Saya juga jenis yang suka berurusan di kaunter.
“Berdasarkan syarat kelayakan, saya layak kerana telah kehilangan pekerjaan sebagai pemandu lori di sebuah kilang di Kelana Jaya sejak Ogos lalu,” katanya ketika ditemui semalam.
Di Kuala Terengganu, bangunan KWSP dibanjiri lebih 500 pencarum yang berkumpul seawal pukul 7.30 pagi biarpun waktu operasi bermula pukul 8 pagi.
Amir Awang, 40, berkata, dia menunggu seawal pukul 8 pagi untuk memohon i-Sinar.

“Sebaik tiba di KWSP, saya mendapati sudah ramai orang beratur menunggu giliran. Selepas hampir sejam beratur, saya ternampak notis cara memohon i-Sinar secara online dilekatkan pada dinding bangunan itu.
“Saya kemudiannya keluar barisan dan memohon skim itu secara online,” ujarnya.
Di Johor Bahru, suasana sama berlaku apabila orang ramai beratur panjang di pejabat KWSP Johor Bahru seawal pukul 7 pagi.
Seorang suri rumah, Rohana Abu, 52, berkata, dia keluar rumah dari Pasir Gudang seawal pukul 7 pagi sebelum sampai ke pejabat KWSP kira-kira pukul 8 pagi.
“Saya sampai pun orang sudah ramai beratur. Saya nak buat permohonan i-Sinar, saya tak pandai nak buat secara online, jadi saya ke sini untuk berurusan.
“Mujurlah banyak kaunter dibuka dan pegawai mereka membantu kami,” katanya.
Di Seremban, pejabat KWSP turut ‘sesak’ dengan orang ramai.
Seorang pekerja kedai cat, Sufizan Azmi, 30, berkata, dia lebih rela beratur panjang lebih dua jam daripada membuat permohonan skim itu secara online yang mengelirukan.
“Kerajaan sudah bagi kita peluang untuk keluarkan duit, jadi kita kenalah usaha sedikit dengan beratur panjang,” ujarnya.
Seorang lagi pencarum, Qaidatul Ikhsan Baharudin, 27, berkata, KWSP sangat membantu dalam urusan permohonan i-Sinar walaupun dia terpaksa beratur panjang di tengah panas.
“Mereka beri kami air mineral ketika beratur dan urusan permohonan di kaunter pula kurang 10 minit,” ujarnya.
Sementara itu, KWSP dalam satu kenyataan berkata, ahlinya yang mengalami sebarang masalah boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di talian 03- 8922 4848.
Talian khas itu boleh dihubungi bermula pukul 8 pagi sehingga 8 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Kategori 1 melibatkan ahli yang sudah lama tidak mencarum KWSP, suri rumah, bekerja sendiri, bekerja di sektor ekonomi gig, hilang pekerjaan, cuti tanpa gaji dan hilang sumber pendapatan.
Bagi kategori 2, pencarum boleh membuat permohonan bermula 11 Januari 2021.
Kategori ini layak untuk ahli yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.-K! ONLINE














