KETIKA ditugaskan untuk ke satu lokasi di Putrajaya atas urusan kerja, wanita itu sedikit bingung kerana dia tidak pernah tahu sama sekali akan kewujudan tempat tersebut.
Meskipun sering ke Putrajaya atas urusan kerja atau rekreasi, melihat nama Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) menimbulkan rasa ingin tahu dalam dirinya tentang apa yang menarik ada di sana.
Menurut kakitangan awam, Noor Idayu Azar, setibanya di lokasi bersama rakan kerja, dia amat terkejut kerana lokasi itu sangat berbeza daripada apa yang dia bayangkan.
“Awalnya, apabila mengetahui tempat itu berkaitan dengan kitar semula, saya membayangkan ia mungkin lokasi pengumpulan bahan buangan, tetapi selepas tiba di sini saya terkejut kerana ia sebenarnya lebih daripada itu.
“Ketika sampai, ia tidak terlihat seperti pusat pengumpulan sampah kitar semula, malahan landskapnya juga amat menarik seperti sebuah pusat rekreasi pendidikan untuk orang awam,” katanya ketika ditemu bual K2 di FIKS, Putrajaya baru-baru ini.
Tambahnya, lokasi tersebut bagaikan permata yang tersembunyi kerana di sebalik rimbunan pohon di jalan masuk ke kawasan itu, ada sebuah pusat yang dibangunkan khusus untuk kesedaran kitar semula kepada orang awam.
FIKS merupakan sebuah kemudahan yang dibina sebagai model bersepadu pertama menggabungkan pusat pendidikan dan pengurusan bahan buangan kitar semula di satu lokasi.
Memulakan operasi sejak 2019, FIKS yang terletak di Presint 5, Putrajaya itu diuruskan sepenuhnya oleh syarikat pengurusan alam sekitar, Alam Flora Sdn. Bhd.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali, FIKS turut menjalankan aktiviti inovasi sebagai langkah penyelidikan bagi memanfaatkan lebih banyak sisa kitar semula kepada bahan boleh guna.
“FIKS adalah pusat kitar semula yang pertama di Malaysia dibangunkan bagi membantu kerajaan mencapai matlamat untuk meningkatkan sasaran kadar kitar semula melebihi 40 peratus menjelang 2025.
“Ia juga merupakan sebuah pusat pembelajaran untuk orang awam belajar mengenai proses kitar semula, pengasingan dan pemulihan sisa yang boleh dikitar semula,” ujarnya.
Tambahnya, dibina di atas kawasan seluas 2 hektar, FIKS bukan hanya mempunyai pusat pengurusan, simpanan dan inovasi tetapi juga hab ilmu, butik 3R, perpustakaan, pusat belian balik barangan kitar semula dan tempat permainan serta ‘Drive Thru Recycle Centre’ (DTRC).
Sebagai sebuah pusat pendidikan dan pengurusan, FIKS juga dibuka buat kunjungan secara tempahan dalam talian bagi mereka yang ingin belajar tentang proses menyeluruh kitar semula.
Namun, begitu orang ramai juga boleh berkunjung secara ‘walk-in’ untuk menjual sisa kitar semula di pusat belian balik barangan kitar semula.
Orang ramai boleh ‘menjana’ wang dengan menjual pelbagai barangan lama daripada segala macam bahan, misalnya kotak, majalah, surat khabar, kertas, kotak minuman, minyak masak, plastik, kaca, tin, besi dan barangan elektrik atau elektronik pada kadar harga yang telah ditetapkan.

Barangan elektrik yang diterima antaranya mesin basuh, komputer, pencetak, ketuhar, peti sejuk, kamera dan lain-lain.
Kongsi Adam Saffian, konsep yang ditekankan di FIKS adalah pendedahan menyeluruh tentang kitar semula dan kesedaran awam.
“Bagi yang berkunjung ke sini (secara tempahan) kami akan bawa mereka melawat di sekitar kawasan FIKS termasuk kawasan operasi pengasingan, pengurusan dan inovasi kitar semula.
“Di sana kita akan memberitahu mereka bagaimana bahan kitar semula diproses dan bagaimana mereka boleh membantu mengurangkan pembuangan sisa bermula dari rumah,” katanya lagi.
Jelasnya lanjut, secara amnya, pengasingan sisa kitar semula melibatkan bahan seperti plastik, logam atau aluminium, kaca dan kertas, tetapi di FIKS mereka turut mengumpulkan bahan buangan lain seperti minyak masak terpakai, sisa makanan dan juga barang elektrik serta elektronik.
Bagi aspek pengurusan dan inovasi pula, bahan yang dihantar ke FIKS akan diasingkan mengikut kategori serta kondisi sama ada bersih atau tercemar.
Secara keseluruhan, FIKS di Presint 5 boleh menempatkan 15 tan bahan buangan dalam sehari dan setiap bulan mereka mengumpulkan 350 tan sisa kitar semula untuk diproses.
Bahan kitar semula diperoleh semula dan diproses untuk dibekalkan kepada pengitar semula atau end-user manufacturer.
Antara proses yang dijalankan kepada bahan kitar semula adalah plastik akan dileraikan menjadi kepingan kecil, manakala kertas atau kotak akan dimampatkan sebelum disalurkan kepada pengilang sebagai bahan mentah.
Dari segi inovasi pula, minyak masak terpakai akan dihantar kepada rakan strategik untuk pemprosesan biodiesel, manakala sisa makanan pula menjalani proses ‘pencernaan anaerobik’ untuk ditukar menjadi biogas dan baja kompos.
“Biogas ini adalah inovasi yang kami jalankan sebagai model untuk menunjukkan potensi bahan kitar semula kepada sumber alternatif terutama buat penjanaan elektrik.
“Bagi biogas yang kami hasilkan, ia digunakan untuk menjana mesin di pusat operasi yang mana merupakan satu konsep ekonomi kitaran,” jelasnya.
Kongsinya, selain daripada operasi yang menekankan konsep kitar semula, pembinaan segmen pendidikan kitar semula juga memanfaatkan bahan terpakai sebagai infrastruktur binaan dan hiasan landskap.
Katanya, bagi infrastruktur binaan, mereka menggunakan kontena terpakai sebagai unit-unit untuk pusat edukasi dan galeri, manakala perpustakaan pula memanfaatkan badan tren komuter yang tidak lagi digunakan.
Untuk landskap pula kebanyakannya menggunakan bahan binaan seperti paip sebagai pasu untuk tanaman hiasan, palet kayu sebagai tempat duduk dan sebagainya.
Mengakui kesedaran terhadap kitar semula dalam masyarakat masih belum mencapai sasaran, Adam Saffian berharap agar orang ramai boleh memanfaatkan kemudahan FIKS untuk mendalami ilmu kitar semula.
Katanya lagi, kewujudan FIKS pelbagai fasiliti serta kemudahan awam memainkan peranan utama dalam menggalakkan masyarakat Malaysia, terutama warga Putrajaya, mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa di punca selari dengan sasaran Dasar Kebersihan Negara.














