fbpx
Orang ramai terutamanya yang tidak balik kampung membeli barangan persiapan Aidiladha di Pasar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur semalam.

‘Beraya di KL pun meriah juga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dalam ­ke­ghairahan perantau pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, terdapat ramai dalam kalangan warga kota yang memilih untuk menyambutnya secara sederhana di kota raya atas beberapa faktor.

Antara faktor tersebut adalah mereka tidak sanggup menempuh kesesakan jalan raya yang lama, selain hanya mendapat cuti yang singkat.

Bagaimanapun, ada juga antara mereka yang memilih untuk pulang lewat sedikit ke kampung selepas keadaan kesesakan jalan raya sedikit reda.

Menurut seorang perantau yang mahu dikenali sebagai Nor Afidah, 51, dia dan suami serta tiga orang anaknya tidak pulang ke kampung di Machang, Kelantan kerana tidak sanggup me­nempuh kesesakan lalu lintas yang lama sehingga mengambil masa berjam-jam.

Ujarnya yang bekerja sebagai doktor, dia dan keluarga menghadap kesesakan lalu lintas selama 10 jam di atas jalan raya ketika pulang ke kampung pada Syawal lepas.

“Suami saya pun berasal dari Kelantan. Hari Raya Aidiladha tahun ini kami memilih untuk sambut secara sederhana sahaja di rumah kami di Taman Melati, Wangsa Maju di sini.

“Kami betul-betul tak sanggup nak tempuh kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi Saiful Mohd. Siddiq, 55, pula, dia dan isteri serta seorang anaknya memilih untuk tidak pulang ke kampung di Temerloh, Pahang kerana hampir semua saudara-maranya berada berdekatan tempat tinggalnya.

Di samping sukar mendapat cuti, Saiful yang juga seorang mekanik berkata, perayaan Hari Raya Aidiladha juga kurang meriah disambut berbanding Hari Raya Aidilfitri yang ternyata menjadi kewajipan untuk dirai setiap tahun.

“Bukan tak nak pulang, tetapi di kampung pun sudah tiada siapa. Kecuali kalau semua saudara-mara pun pulang, jadi baru teruja nak balik kampung.

“Saya juga hanya mendapat cuti sekejap, jadi amat meletihkan kalau nak tempuh kesesakan trafik. Isteri saya pula orang Sarawak, di sana kemeriahan Hari Raya Aidiladha tidak seberapa,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut seorang pekerja di kedai kopi, Farah Alia Ibrahim, 25, dia dan keluarga tidak merancang untuk pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor kerana kekangan kewangan.

Katanya yang menetap di Gombak bersama keluarganya, dia juga sukar mendapat cuti kerana terpaksa bekerja pada hari cuti umum.

“Kebiasaannya memang kami tak balik kampung, hanya buat makan-makan biasa sahaja di rumah.

“Saya tidak sedih pun tak dapat cuti, memang pilih untuk be­kerja pada Hari Raya Aidiladha.

Bagi pembantu perawatan kesihatan, Norazlinda Abdul Halim, 35, pula, dia berasa kecewa apabila tidak dapat pulang ke kampung kerana terdapat urusan kerja yang terpaksa dilakukan pada Rabu ini.

Katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah, biasanya setiap tahun dia dan suami serta dua orang anaknya wajib pulang ke kampung untuk meraikan Hari Raya Aidiladha dalam suasana yang cukup meriah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN