fbpx
Orang ramai beratur bagi membeli tiket di TBS, Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha Isnin ini.

Perantau mula pulang sambut Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Terminal Bas Bersepadu (TBS) di sini mula di­serbu orang ramai hari ini yang berpusu-pusu bergerak untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidiladha Isnin ini.

Tinjauan mendapati, ruang TBS mula dibanjiri orang ramai seawal pukul 7 pagi dan ada yang sudah berkampung untuk me­nunggu kehadiran bas. Keadaan menjadi lengang empat jam kemudian.

Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Syaza Nurqasrina Syarul Nizam, 20, berkata, dia mahu memanfaatkan peluang pulang ke kampung untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga.

“Gembira dapat balik tolong ibu bapa buat persiapan sempena hari raya ini,” katanya.

Orang ramai beratur bagi membeli tiket di TBS, Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha Isnin ini.

Pelajar Universiti Teknologi Mara Puncak Alam, Nur Istifaiyah Kasir, 22, berkata, pada mulanya dia mahu pulang awal ke Pontian, Johor, namun terpaksa ditunda atas urusan kerja.

“Sudah lama tidak balik kampung jumpa keluarga semenjak cuti raya Aidilfitri, jadi saya gembira dan semangat nak balik rumah kali ini,” ujarnya.

Juruteknik, Muhammad Hafiz Fahmi Hisham, 23, berkata, dia bersemangat untuk berkumpul bersama keluarga menyambut Aidiladha di Pontian dan membeli tiket sejak sebulan lalu.

“Beli tiket awal sebab risau tiket habis. Saya mengambil cuti tahunan selama tiga hari untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga,” katanya.

Bagaimanapun bagi Helmi, 22, dia terpaksa menangguhkan hasrat pulang sehari lebih awal ke Machang, Kelantan ekoran terlewat tiba lewat di TBS.

“Saya rancang hendak pulang pagi ini (semalam), namun terlewat sampai kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya ketika hendak ke TBS.

“Terpaksa pula beli tiket baharu dengan harga mahal sedikit sebab beli di Facebook. Tidak mengapa asalkan dapat balik,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan pengguna terpaksa berebut membeli tiket ke pantai timur dan utara yang laku bagaikan pisang goreng panas.

Kebanyakan kaunter untuk dua destinasi itu menunjukkan tanda sold out walaupun Aidiladha berbaki dua hari lagi.

Dalam pada itu, bagi perjalanan menuju ke Pantai Timur, hanya berbaki satu bas tambahan sahaja pada esok, manakala tiada perjalanan bas daripada Kuala Lumpur menuju ke pantai timur pada Isnin.

Menurut seorang perantau dari Kota Bharu, Kelantan dikenali sebagai Mohd. Shawal, 32, walaupun sudah beli awal tiket bas, dia tidak sempat untuk memilih tempat duduk yang diingini.

“Saya naik bas sebab mahu bersenang-senang, rehatkan kaki daripada kejang harungi jalan sesak, tapi saya berdebar juga mahu nantikan siapa di sebelah saya nanti memandangkan tempat duduk single dah habis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN